Nasionalpilihan

Dadah bernilai RM44 juta dirampas di Selangor

POLIS merampas dadah bernilai RM44 juta daripada sindiket pengedaran dadah menerusi 10 serbuan berasingan di sekitar Serdang, Ampang Jaya dan Subang Jaya pada Isnin lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya turut menahan 14 individu termasuk empat wanita yang disyaki ahli sindiket dalam operasi berkenaan.

“Kita menahan 10 lelaki dan tiga wanita tempatan serta seorang wanita warga Vietnam (isteri kepada seorang suspek lelaki).

“Kesemua suspek berumur lingkungan 20 hingga 70 tahun disyaki terbabit kegiatan pengedaran dadah syabu, heroin base dan pil Erimin 5 di sekitar Lembah Klang,” katanya pada sidang media secara maya hari ini.

Gambar ihsan IPK Selangor

Menurut Arjunaidi, selain tangkapan, pihaknya merampas 431 bungkusan berisi dadah jenis syabu, 863 slab disyaki heroin base serta 2,000 biji pil Erimin 5 dengan anggaran berat 764.34 kilogram (kg) di tiga lokasi yang dijadikan stor menyimpan dadah.

Jelasnya, siasatan awal mendapati sindiket ini beroperasi sejak tahun lalu dan mendapat bekalan dadah dari negara jiran untuk pasaran tempatan.

“Mereka bergerak dan melepasi sekatan jalan raya dengan menggunakan kenderaan perdagangan.

“Mereka disyaki menggunakan modus operandi membawa dadah dengan menyorokkannya dalam lori mengangkut buah-buahan, sebelum transit ke tiga rumah yang dijadikan stor penyimpanan.

“Bagaimanapun ia tidak semestinya lori buah-buahan saja, mereka disyaki turut menggunakan kenderaan perdagangan lain,” katanya.

Gambar ihsan IPK Selangor

Dalam pada itu, Arjunaidi berkata, pihaknya turut menyita aset sindiket membabitkan tujuh kenderaan, tujuh akaun bank, wang tunai pelbagai negara, seutas jam tangan berjenama mewah dan barang kemas.

Jelasnya, ujian saringan air kencing semua suspek bagaimanapun didapati negatif, namun enam daripada mereka memiliki pelbagai rekod jenayah lampau.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan suspek direman tujuh hari hingga 12 Julai ini.

“Tindakan ke atas suspek juga diambil mengikut ADB (Pelucuthakan Harta) 1988,” katanya. -SM

(Visited 108 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button