Nasional

Dr. Wan Azizah saran wartawan kerja dari rumah elak jangkitan Covid-19

BEKAS Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menyarankan agar wartawan  bertugas dari rumah berikutan wabak Covid-19 yang sedang melanda dunia ketika ini.

Menurut Dr. Wan Azizah,  masyarakat perlu memastikan supaya petugas-petugas barisan hadapan selamat. Ini  termasuk wartawan yang tekun menyampaikan berita-berita terbaharu yang antara lain diperolehi melalui sidang-sidang akhbar.

“Kami faham akan kemungkinan bekalan topeng muka dan sarung tangan yang tidak mencukupi pada waktu ini, bermakna kita perlu memikirkan cara-cara lain untuk memastikan wartawan-wartawan kita tidak terdedah kepada risiko jangkitan.

“Satu cadangan ialah bagi wartawan-wartawan dapat bertugas dari rumah. Menteri-menteri boleh membuat rakaman sidang media mereka dan memajukan rakaman tersebut kepada organisasi-organisasi berita bagi wartawan mereka menyediakan berita tersebut,” kata Dr. Wan Azizah.

Jelas beliau,  pelbagai aplikasi boleh digunakan oleh menteri terbabit bagi membolehkan wartawan bertanya soalan dalam sidang akhbar secara atas talian dari rumah.

Dr. Wan Azizah berkata, video juga boleh juga dipaparkan di akaun media sosial kementerian atau menteri berkenaan untuk dilaporkan oleh media. Malah kenyataan akhbar juga boleh dihantar terus kepada organisasi-organisasi berita untuk dilaporkan.

“Kesemua ini akan membolehkan wartawan-wartawan bertugas tanpa perlu bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain dan dengan itu mengurangkan risiko mereka terdedah kepada Covid-19.

“Betulkan yang biasa, biasakan yang betul. Sekarang kita berada dalam waktu krisis, oleh itu kita perlu mengambil berat antara satu sama lain. Insya-Allah kita akan dapat sama-sama mengatasi krisis yang dihadapi,” kata Dr. Wan Azizah dalam hantaran terbaharu di Facebook.

(Visited 340 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button