
Curi lembu selepas 20 minit dilepas dengan jaminan
KUALA LUMPUR: Pemandu lori yang didakwa menyebabkan kematian sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Selasa lepas telah ditahan semula polis, hanya 20 minit selepas dia akhirnya membayar ikat jamin hari ini.
Sinar Harian melaporkan Jabatan Siasatan Jenayah Polis Bagan Datuk menahan semula Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45, di kaunter bayaran ikat jamin kira-kira jam 12.20 tengah hari.
Dia dilaporkan ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes curi lembu yang berlaku di Hutan Melintang, Bagan Datuk, bulan lalu.
Ikat jamin RM6,000 Rudi telah dibayar oleh majikannya, membolehkan dia dibebaskan sebentar dari lokap ibu pejabat polis Hilir Perak.
Dia mengaku tidak bersalah Jumaat lalu atas pertuduhan memandu secara berbahaya dan menyebabkan kematian anggota FRU dalam kemalangan di Teluk Intan.
Pertuduhan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda sehingga RM50,000 dan hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun, jika sabit kesalahan.