Politik

Ada masa untuk berbalah, tapi sekarang masa menangkan BN – Abdul Rahman

AHLI Majlis Tertinggi UMNO Datuk Abdul Rahman Dahlan yang sebelum ini tidak bersetuju pelantikan Bung Moktar Radin sebagai pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bagi Barisan Nasional (BN) mengambil keputusan untuk memenangkan parti itu dan rakan-rakan sekutu.

Jelas Ketua UMNO Sabah Bahagian Tuaran itu, perbezaan pendapat masih boleh dan perlu diurus dan dibincangkan pada masa akan datang kerana proses tersebut tidak dikekang oleh masa.

Bagaimanapun pilihanraya pula ada had masa dan yang perlu diberi keutamaan.

“Perbezaan pendapat adalah lumrah politik. Namun, kita perlu membahagi isu. Iya, ada masa untuk berbalah. Tetapi sekarang adalah masa untuk memenangkan BN dan rakan-rakannya dalam pilihanraya negeri. Ketika ini, itu lebih mustahak,” kata Abdul Rahman.

Menurutnya, sebagai ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Ketua UMNO Sabah Bahagian Tuaran, dia mempunyai tanggungjawab yang berat kepada parti dan ahli-ahli parti untuk memastikan BN dan rakan-rakan menang dalam PRN Sabah.

Sebelum ini gambarnya dan Bung Moktar ‘berjabat tangan’ sambil tersenyum dan disaksikan oleh kepimpinan BN termasuk Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tersebar di media sosial.

Abdul Rahman pada 18 Ogos lalu mengetuai 12 ketua Umno dari Sabah berkata, pengumuman Ahmad Zahid berhubung pelantikan Bung Moktar melanggar semangat autonomi yang diberikan kepada Umno Sabah untuk menentukan hala tuju sendiri.

Katanya, tindakan memilih Bung Moktar yang berdepan tuduhan mahkamah adalah penghinaan kepada Umno Sabah dan seperti memberi peluru kepada pihak lawan sedangkan BN berpeluang besar memenangi pilihan raya itu disebabkan kelemahan parti Warisan.

“Keputusan melantik Bung Moktar tidak dirunding. Kami berpendapat ini langgar semangat autonomi Sabah yang diumumkan pada tahun lepas.

“Kami mahu diberi kebebasan kepada kami tanpa campur tangan Umno pusat. Kami berpandangan yang menjadi ketua jentera Umno Sabah mesti bebas dari perspektif negatif yang boleh dipersoalkan pihak lawan serta tidak mempunyai masalah peribadi yang boleh menjejaskan jentera parti.

“Saya yakin jumlah (ketua Umno di Sabah) yang tolak akan bertambah selepas sidang media malam ini,” katanya pada sidang media.-SM

(Visited 104 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button