Nasionalpilihan

Polis cedera ditumbuk, ditendang, digigit sekumpulan lelaki mabuk

Dua anggota polis cedera selepas ditumbuk, ditendang dan digigit ketika hendak menahan lima lelaki mabuk di Flat Sri Nilam, Ampang pada 21 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 11.10 malam selepas pihaknya mendapat aduan.

“Setibanya di sana, terdapat lima lelaki yang sedang berkumpul dalam keadaan mabuk.

“Anggota bertugas telah cuba membuat pemeriksaan namun, suspek tidak memberi kerjasama. Malah bertindak agresif serta cuba menghalang anggota polis menjalankan pemeriksaan dengan cara menolak dan ingin menyerang anggota bertugas,” katanya.

Susulan itu, Moahamad Farouk berkata, anggotanya telah meminta bantuan dan ketika proses tangkapan dilakukan, berlaku pergelutan antara polis dan suspek.

Jelasnya, dua anggota polis telah mengalami kecederaan ketika proses tangkapan dilakukan.

“Anggota polis turut ditumbuk di dada serta digigit di bahagian lengan kiri dan tengkuk. Malah suspek juga bertindak menendang polis.

“Kita terpaksa menggunakan kekerasan yang minimum ketika menahan mereka dan seorang daripada suspek mengalami sedikit kecederaan pada ibu jari kaki sebelah kanan akibat terkena jubin lantai,” katanya.

Ujarnya, ketika pergelutan itu, suasana menjadi tidak terkawal dan seorang daripada suspek telah melarikan diri.

Malah, ketika di IPD Ampang Ampang Jaya, dua daripada suspek sekali lagi bertindak agresif dan memaki hamun polis dengan kata-kata kesat.

“Kesemua empat orang tangkapan berumur 23 hingga 26 tahun dan tidak bekerja. Mereka mempunyai rekod lampau dalam dadah dan jenayah kekerasan termasuk yang telah melarikan diri.

“Kesemua tangkapan telah ditahan dan akan disambung reman pada hari ini,” katanya yang turut mengesahkan usaha untuk mengesan seorang lagi suspek sedang dilakukan.

Tambahnya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 353 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan. -SM

(Visited 197 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button