Nasional

CUEPACS kecewa bantuan RM500 barisan hadapan KKM indah khabar

KONGRESS Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) melahirkan raca kecewa terhadap pemberian bantuan sebanyak RM500 kepada semua petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan (KKM).

Pemberian bantuan sebagai tanda penghargaan dalam menangani dan membendung penularan wabak Covid-19 itu mempunyai kadar dan kelayakan yang sangat berbeza berbanding dengan yang diumumkan dalam Belanjawan 2021.

Menurut Presidennya Adnan Mat, melalui surat edaran yang dikeluarkan KKM kadar dan kelayakan bagi pemberian one-off  ditetapkan kepada dua kategori iaitu RM500 dan RM250.

Jelas beliau, petugas KKM hanya layak mendapat kadar penuh RM500 jika telah dibayar Elaun Khas Covid-19 tahun lalu pada kadar penuh selama tiga bulan atau lebih.

Manakala mereka yang menerima elaun kurang daripada tiga bulan atau kadar separuh hanya layak menerima kadar separuh RM250.

“Tindakan membezakan pemberian one-off ini kepada dua kadar yang berbeza hanya bersandarkan kepada status penerima Elaun Khas Covid-19 ini adalah tidak adil.

“Walaupun petugas itu tidak mendapat tuntutan penuh Elaun Khas Covid-19, ia tidak bermaksud sumbangan petugas ini kurang.

“Perlu diingat apabila pandemik melanda telah menyebab penambahan beban tugas kerana tugas hakiki perlu juga diutamakan selain tugas berkaitan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan.

Lebih mengecewakan petugas perlu membuat tuntutan tersebut secara manual dengan mengisi borang tuntutan.

CUEPACS menggesa agar KKM membuang semua syarat dan kelayakan yang telah ditetapkan dalam pemberian one-off tersebut.

Kongress itu berpendapat semua petugas KKM yang dikategorikan sebagai barisan hadapan layak diberi RM500 tanpa mengambil kira syarat tambahan kerana mereka telah bertungkus lumus dalam menangani pandemik Covid-19 layak

KKM juga perlu menyerahkan kuasa kepada ketua jabatan untuk menentukan petugas yang layak untuk menerima bantuan itu terutama pasukan barisan hadapan yang telah ditetapkan oleh jabatan masing-masing untuk bertugas sebagai frontliner.

“Sudahlah pemberian Elaun Khas Covid-19 penuh dengan dokumentasi dan pelbagai syarat sehingga petugas barisan hadapan merasa malas untuk menuntut elaun berkenaan.

“Kini pemberian one-off yang telah diumumkan untuk diberikan kepada semua petugas barisan hadapan KKM juga mahu diremehkan dengan pelbagai syarat dan kerenah birokrasi.

“CUEPACS berharap isu ini dapat diselesaikan dengan segera agar petugas barisan hadapan ini dapat fokus kepada khidmatnya kepada rakyat dan negara,” tegas beliau.-SM

(Visited 592 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button