Nasionalpilihan

LPPR pandang serius isu penarikan balik kes rasuhan semasa perbicaraan berlangsung

Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) memandang serius berhubung isu penarikan balik kes-kes melibatkan individu tertentu semasa perbicaraan sedang berlangsung.

Pengerusinya, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, beliau bersama enam lagi ahli-ahli lain telah mengadakan perbincangan berkenaan isu tersebut.

“Dalam hal ini, LPPR tidak bertolak ansur demi menjaga imej, kredibiliti dan integriti SPRM.

“Sehubungan itu, berkaitan penarikan balik kes terhadap bekas Ahli Lembaga Pengarah FELDA, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid, LPPR telah mendapatkan pandangan daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM,” katanya.

Menurutnya, LPPR mengambil maklum bahawa penarikan balik kes berkenaan adalah berasas fakta baharu daripada siasatan lanjut setelah tertuduh mengemukakan representasi dan pernyataan pembelaannya di bawah Seksyen 62 Akta SPRM 2009 ketika perbicaraan.

Jelasnya, LPPR berpandangan terdapat elemen-elemen kekurangan dalam siasatan serta keputusan pendakwaan pada awal Februari 2019 oleh Peguam Negara serta pengurusan dan pentadbiran SPRM ketika itu dibuat tanpa pertimbangan yang menyeluruh.

“Oleh kerana sesuatu kes diambil tindakan ketika itu tidak telus serta tidak profesional dan lebih menjurus kepada kepentingan politik telah menyebabkan pengurusan SPRM yang ada sekarang terpaksa menanggung implikasinya.

“Saya dan kesemua ahli jawatankuasa LPPR SPRM tidak mahu SPRM dipolitikkan oleh mana-mana pihak. Segala kesilapan dan kelemahan yang berlaku dahulu, kita tidak mahu terus berulang.

“Prinsip Check & Balance yang diamalkan sekarang hendaklah dilaksanakan dengan bijak, telus dan bertanggungjawab serta penuh integriti,” katanya.

Untuk rekod, LPPR merupakan satu daripada lima badan pemantau bebas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diwujudkan mengikut Seksyen 13 Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan ahli-ahlinya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Terdahulu, keputusan menarik balik 29 pertuduhan rasuah terhadap bekas Ahli Lembaga Pengarah Felda, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd. Harun Narrashid oleh pihak pendakwaan baru-baru ini disahkan SPRM berasaskan fakta yang disahkan daripada siasatan lanjut.

“Berdasarkan dapatan baharu menerusi keterangan yang dikemukakan, tertuduh membuktikan beliau telah membayar balik wang yang didakwa sebagai rasuah itu sebelum siasatan dimulakan.

“Saksi utama turut mengesahkan perkara tersebut sebagai wang pinjaman,” kata SPRM.

SPRM juga telah merujuk kembali kes berkenaan kepada Pejabat Peguam Negara dan diputuskan perbicaraan tidak diteruskan berdasarkan perkembangan terbaharu siasatan tersebut. -SM

(Visited 136 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button