NasionalUncategorized

Amalkan sikap positif dalam kehidupan – Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah mengajak seluruh rakyat mempraktikkan sikap mengutamakan keceriaan, kebersihan dan kehijauan sebagai ciri masyarakat bertamadun yang kaya dengan nilai positif dalam hidup.

Menurut baginda, bagi membuktikan bahawa rakyat Perlis bermentaliti kelas pertama dalam tindakan dengan erti kata yang sebenarnya, maka, sikap ini perlu diasuh sejak dari kecil agar ianya menjadi satu kebiasaan dalam amalan seharian.

Demikian titah Tuanku Raja Muda selepas berkenan berangkat meninjau pelaksanaan ‘Program Transformasi Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis’ bagi fasa 1 yang baru selesai dan fasa 2 yang sedang dilaksanakan sekarang.

Hadir sama mengiringi Tuanku Raja Muda dalam tinjauan berkenaan ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Azman Mohd Yusof.

Projek sebanyak lima fasa yang bakal melibatkan penyertaan lebih 300 buah rumah di dalam kampung tersebut diinisiatifkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bersama-sama Perbadanan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis serta mendapat sokongan padu dari pelbagai peringkat agensi kerajaan, swasta dan masyarakat.

Terkini, pihak Bank Islam Malaysia Berhad menyalurkan sumbangan berjumlah RM20,000 untuk turut serta menjayakan inisiatif berwawasan jauh bagi membantu meningkatkan kegiatan pelancongan, ekonomi dan seterusnya kesejahteraan rakyat di kawasan terbabit.

Para anggota dari Markas Briged Ke 30 Infantri Tentera Darat Malaysia di bawah kepimpinan Panglimanya, Brigedier Jeneral Mohd Zaki Abu turut tidak ketinggalan tampil membantu melalui program ‘Jiwa Murni’ mereka bagi melaksanakan fasa ke dua ini bersama masyarakat setempat.

Titah baginda lagi, walaupun sikap mengutamakan kebersihan ini perlu dilatih sedari kecil, namun tidaklah terlalu lewat untuk ianya dilaksanakan oleh seluruh rakyat sebagai kelaziman baharu.

“Sebagai contoh, norma baharu ketika penularan pandemik Covid-19, mampu kita laksanakan kerana ianya merupakan perkara yang ‘tidak dapat tidak’ atau ‘tiada pilihan’ untuk kita”.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menegaskan bahawa langkah menjaga keceriaan, kebersihan dan kehijauan setiap kawasan perlu terus dipertingkatkan dari masa ke semasa ibarat memelihara maruah diri sendiri, keluarga, kawasan setempat, negeri dan juga negara. Tiada kompromi dalam hal ini.

(Visited 375 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button