Nasional

Penerapan nilai Keluarga Malaysia suntik semangat kebersamaan dalam komuniti

Oleh: Dato’ Sri Dr. Junaidy bin Abu Bakar

“Kita adalah satu keluarga tanpa mengira agama, bangsa dan kaum. Setiap daripada anda adalah seperti keluarga saya sendiri, sama ada anak muda, mahupun yang berusia. Kita diibaratkan saling melengkapi, umpama anggota tubuh yang saling memerlukan”. Inilah antara bait-bait ucapan YAB Perdana Menteri Ke-9 ketika memperkenalkan konsep Keluarga Malaysia. Ia adalah suatu lafaz keramat yang telah menyatukan hati-hati seluruh rakyat Malaysia dalam memerangipandemik Covid-19. Jika difahami patah perkataan YAB Perdana Menteri itu, ia umpama sebatang tubuh, jika satu anggota yang sakit, maka seluruh anggota akan merasainya. Begitulah konsep Keluarga Malaysia yang bersifat inklusif, merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum. Ia amat bertepatan dan sesuai dengan fokus utama kerajaan dalam memulih, membaiki dan membangun semula kehidupan rakyat yang sedang dilanda kemelut kesihatan dan ekonomi akibat wabak. Sejak mencapai kemerdekaan, rakyat sudah lama menikmati kemesraan hidup sebagai masyarakat majmuk. Oleh itu, konsep Keluarga Malaysia dilihat sebagai wadah terbaik dalam mengukuh kembali rasa hidup bermasyarakat yang aman dan sejahtera dari segi rohani serta jasmani.

Melalui pendekatan Keluarga Malaysia, YAB Perdana Menteri telah menyatakan dua fokus utama bagi membangun semula ekonomi iaitu melalui kuasa membeli serta mengangkat semula sektor swasta untuk memacu perkembangan ekonomi negara. Konsep Keluarga Malaysia juga telah berjaya meredakan perang politik apabila para pemimpin parti pembangkang turut dilibatkan dalam program pemulihan negara dan Jawatankuasa Khas Covid-19. Dalam konteks kesihatan pula, program vaksinasi misalnya giat dijalankan agar mencapai 90% imuniti kelompokpopulasi dewasa sebagai usaha mengekang penularan wabak Covid-19 di seluruh negara dan seterusnya menyelamatkan nyawa rakyat. Terkini, kerajaan Malaysia telah mencatatkan kejayaan apabila 81% populasi dewasa di Malaysia telah lengkap divaksin dan 93.3% telah memperolehi sekurang-kurangnya satu dosvaksin. Rentetan dari kejayaan ini, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan  Pandemik telah bersetuju membenarkan pembukaan pusat-pusat pelancongan, pulau-pulau atau kawasan pelancongan berserta aktiviti merentas negeri apabila negara mencapai 90% kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Tunjang utama konsep Keluarga Malaysia adalah berpaksikan pegangan yang kukuh terhadap Perlembagaan Persekutuan dan mendokong prinsip-prinsip Rukun Negara. Kelima-lima prinsip Rukun Negara ini jika dihayati akan membawa kepada penerapan nilai-nilai murni dalam keluarga rakyat Malaysia. Sebagai contoh, prinsip pertama Rukun Negara adalah Kepercayaan kepada Tuhan yang membawa nilai beriman dan beramanah dalam keluarga. Kesetiaan kepada Raja dan negara dapat diterjemahkan melalui keadilan, melindungi, keamanan dan kesejahteraan dalam negara di bawah pemerintahan Raja Berpelembagaan. Prinsip Keluhuran Perlembagaan dapat mengetengahkan nilai kebijaksanaan, ketelusan dan menjaga keharmonian negara melalui Perlembagaan Persekutuan, prinsip Kedaulatan Undang-Undang pula menerapkan nilai keadilan. Ini bermaksud ahli komuniti atau seluruh rakyat wajib mentaati undang-undang negara. Prinsip terakhir adalah Kesopanan dan Kesusilaan yang menerbitkan rasa kasih sayang, prihatin, tolong menolong dan saling melindungi sesama kita. Ini adalah antara nilai-nilai yang perlu diamalkan oleh setiap keluarga Malaysia tanpa mengira latar belakang agama,jantina, kaum, warna kulit, bahasa, tahap pendidikan ataupun sempadan negeri.

Pengenalan kepada Keluarga Malaysia ini telah menyuburkan kembali nilai-nilai murni dalam keluarga rakyat Malaysia selari dengan ajaran setiap agama yang wujud di dunia ini. Misalnya, dalam ajaran Islam terdapat sembilan nilai kekeluargaan yang disebut dalam Al-Quran iaitu nilai iman, amanah, adil, musyawarah, sabar, ihsan, menjaga kehormatan diri,tolong-menolong serta ketenangan dan kebahagiaan. Semua ajaran ini telah sebati dengan masyarakat Melayu. Masyarakat Cina menganggap keluarga adalah kehidupan. Mereka lebih mementingkan kesejahteraan, kemakmuran, kebahagiaan dan kekayaan. Kebanyakan daripada mereka cenderung kepada konsep kebaikan dari segi moral dan akhlak manusia. Ajaran agama seperti Buddha, Taoisme dan Konfusianismemenekankan aspek etika dan moral dalam kehidupan. Masyarakat India pula berpegang kepada lima keyakinan dan kepercayaan yang disebut dengan Pancasradha iaitu Percaya kepada Tuhan, percaya kepada jiwa dalam setiap makhluk, percaya kepada hukum sebab-akibat, percaya kepada reinkarnasi dan percaya bahawa kebahagiaan tertinggi merupakan tujuan akhir kehidupan (moksa).

Sesuai dengan konsep Keluarga Malaysia, asas utama dalam menggerakkan Keluarga Malaysia adalah melalui pengurusan dalam unit keluarga. Pengurusan unit-unit kecil seperti keluarga memainkan peranan yang sangat penting dan berkait rapat dengan pengurusan komuniti dan negara. Hal ini kerana institusi keluarga adalah unit paling asas dan penting dalam proses pembentukan komuniti. Komuniti yang sejahtera lahir daripada keluarga yang sihat dan makmur. Jika baik, sejahtera dan bahagia sesebuah keluarga maka baik, sejahtera dan bahagialah generasi yang dilahirkan dalam sesebuah komuniti dan negara. Nilai-nilai kekeluargaan ini membantu mengukuhkan hubungan keluarga dan memberi kesan positif kepada individu, keluarga dan keselamatan sosial. Ia menjadi kuasa dan penggerak yang membantu orang ramai melakukan hak-hak dan perbuatan yang baik. Kesejahteraan sesebuah unit keluarga secara mental dan fizikal boleh membantu membina komuniti yang stabil dan makmur dari segi ekonomi, sosial dan psikologi. Ia amatlah bertepatan dengan konsep Keluarga Malaysia yang mana keutuhan negara terikat dengan nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga.

Penerapan nilai dalam konteks Keluarga Malaysia adalah amat penting kepada pembangunan komunitisecara menyeluruh. Komuniti yang sihat sepenuhnya akan menghasilkan sebuah negara yang berproduktiviti tinggi serta melahirkan individu yang berada dalam keadaan tenang secara mental dan fizikal. Hanya dengan keadaan sebeginilah komuniti akan berada dalam keadaan harmoni, sejahtera dan bergerak ke arah yang lebih baik pada masa akan datang. Selari dengan konsep Keluarga Malaysia, Jabatan Komunikasi Komuniti melalui “Penghakupayaan Komuniti” sentiasa di sisi komuniti dalam membangunkan aspek kehidupan komuniti di seluruh negara. Pelbagai program penerapan budaya berilmu pengetahuan, mengasah kemahiran digital dan mengukuhkan semangat patriotisma di kalangan komuniti dijalankan bermatlamat untuk membentuk komuniti yang berfikir dan bertindak atas semua perkara yang menyentuh dirinya dan persekitaran kerana mereka adalah sebahagian daripadanya. Ia adalah sebahagian proses menyalurkan idea, beraktiviti, mengasah bakat serta daya intelektual yang telah sedia dimiliki oleh komuniti.

Menteri Perpaduan Negara menyatakan Keluarga Malaysia adalah nadi negara tanpa mengira agama dan bangsa. Sesuai dengan semangat Keluarga Malaysia juga, nilai-nilai kekeluargaan turut diterapkan dalam komuniti sukan negara melalui pemahaman bahawasukan menyatukan seluruh rakyat Malaysia. Sebagai contoh, seluruh rakyat telah memberikan sokongan yang padu kepada para atlit tanpa mengira bangsa dan agama. Mereka turut meraikan kejayaan para atlit sertaberkongsi momen suka dan duka para atlit sewaktu temasya berlangsung. Sambutan Hari Malaysia yang lalu merupakan satu temasya yang sangat sesuai dan tepat dalam menterjemahkan konsep Keluarga Malaysia. Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, tiada perbezaan yang patut menjadi pemisah atau punca keterasingan mahupun persengketaan apabila seluruh rakyat Malaysia berasa bagai satu keluarga.Dalam mengharungi fasa ujian pandemik ini, kebajikan komuniti petugas barisan hadapan tidak dilupakan apabila pelbagai program amal telah dijalankan sebagai usaha membantu apa yang boleh meringankan bebanan petugas barisan hadapan yang masih terus berjuang. Inilah konsep Keluarga Malaysia yang telah diterjemahkan sebagai anggota tubuh yang saling memerlukan.

Kesimpulannya, Keluarga Malaysia telah berjaya menyuntik kembali semangat kebersamaan dalam keluarga, komuniti dan negara. Ia menjadi aspirasi untuk seluruh rakyat tanpa mengira agama, suku kaum dan fahaman politik supaya saling bersaudara dan mengelakkan permusuhan.


Dato’ Sri Dr. Junaidy bin Abu Bakar

Ketua Pengarah

Jabatan Komunikasi Komuniti (DCC JPM)

Jabatan Perdana Menteri

(Visited 800 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button