Nasional

Peruntukan terbesar RM52.6 bilion bagi pendidikan berkualiti

BAJET 2022 bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera memperuntukkan RM52.6 bilion kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan RM14.5 bilion kepada Kementerian Pengajian Tinggi.

Daripada jumlah tersebut, kerajaan bersetuju untuk menyediakan sebanyak RM150 sebagai Bantuan Awal Persekolahan berbanding RM100 pada tahun lalu.

Sejumlah RM1 bilion disediakan bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan sekolah termasuk RM140 juta kepada JAKIM untuk menyelenggara sekolah tahfiz, sekolah agama rakyat dan institusi pondok berdaftar.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat hari ini berkata, peruntukan penyelenggaraan kepada lebih 10 ribu sekolah Kementerian Pendidikan akan diagihkan mengikut jenis sekolah.

“Sebanyak RM120 juta diberikan kepada 1,800 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil,” katanya.

Dalam pada itu, sebanyak RM746 juta diperuntukan untuk menaik taraf sekolah-sekolah daif dengan 112 projek menaik taraf sekolah daif di Sabah dan 165 projek menaik taraf sekolah daif di Sarawak.

Jelasnya, kerajaan turut menyediakan RM50 juta bagi memperkasakan agenda pendidikan khas bagi membiayai pembelian peralatan mengajar dan menambah baik fasiliti sekolah berkeperluan khas.

Sebanyak RM400 juta diperuntukan bagi Rancangan Makanan Tambahan untuk meneruskan penyediaan bekalan susu harian.

Buat pertama kalinya,kerajaan menyediakan Insentif Khas Alat Bantuan Mengajar secara sekali bayar sebanyak RM100 kepada lebih 400 ribu guru sekolah bawah KPM.

Peruntukan sebanyak RM450 juta diberikan untuk inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia bagi membekalkan tablet kepada pelajar B40 di institusi pengajian tinggi.

Menurut Tengku Zafrul, kerajaan turut bersetuju untuk memberikan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN bermula 1 November 2021 hingga 30 April 2022.

Dalam pada itu, kerajaan menyediakan RM6.6 bilion untuk memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memenuhi keperluan industri semasa dan tambahan RM200 juta bagi program usaha sama dengan industri termasuk Skim Latihan Dual Nasional dan program persijilan industri. – SM

(Visited 146 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button