JenayahNasional

Polis Gagalkan Cubaan Seludup 50 Kambing

PASIR MAS: Polis menahan dua lelaki kerana dipercayai cuba menyeludup masuk 50 kambing dari negara jiran di Jalan Repek-Lubok Jong, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata ketika kejadian anggota membuat rondaan sebelum terserempak sebuah lori Isuzu berwarna merah dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, anggota mengekori lori berkenaan sebelum meminta pemandu dan kelindan masing-masing berusia 29 serta 22 tahun memberhentikan kenderaan untuk tujuan pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan ke atas lori itu menemui kesemua kambing berkenaan bernilai RM30,000 yang dipercayai diseludup dari negara jiran, Thailand. Kedua-dua suspek juga gagal mengemukan dokumen permit pemindahan haiwan ternakan.

“Siasatan awal, suspek mengakui mereka terbabit dengan penyeludupan kambing dari Thailand yang diambil di tepi sungai Kampung Kubang Pak Hitam, Meranti, dan dihantar ke kandang yang terletak di belakang Taman Tengku Anis, Lubok Jong, di sini.

“Pemandu dan kelindan ditahan manakala lori serta kambing dirampas untuk dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mohd Nasaruddin berkata, hasil ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka negatif dadah, namun semakan mendapati mereka mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan penyalahgunaan dadah.

Sementara itu, dalam kes berasingan polis berjaya menahan dua lelaki disyaki memiliki 50 biji pil kuda dan 31.08 gram ganja bernilai RM700 di Kampung Lubok Kawah, Alor Pasir, di sini, kelmarin.

“Kedua-dua suspek berusia 45 dan 36 tahun yang mana salah seorang daripada mereka adalah warga Thailand. Mereka ditahan berada di dalam sebuah bilik bersama kesemua dadah yang dirampas.

“Mereka mengaku mendapatkan bekalan dadah daripada seorang lelaki warga Thailand bernama Atan yang tinggal di Kg Jeram Perdah, di sini.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine, ” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

(Visited 218 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button