Mahkamah

Kes Zahid: SPRM tidak siasat Yayasan Al-Bukhary

SAKSI pendakwa pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu mahkamah hari ini bahawa beliau tidak menyiasat Yayasan Al-Bukhary secara mendalam dengan merekodkan percakapan Tan Sri Syed Mokhtar Bukhary atau pihak lain yang berkenaan kerana tiada keperluan.

Mohd Fahmee Mohamad Nor, 39, berkata, beliau tidak menyiasat lebih dalam kerana tiada bukti dokumen menunjukkan transaksi membabitkan yayasan berkenaan kepada Yayasan Akalbudi yang dimiliki oleh tertuduh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Perkara itu dibangkitkan oleh pihak pendakwa kerana saksi ke-27, pemilik syarikat pengurup wang, Omar Ali menyatakan sumber wang yang dimasukkan ke akaun Yayasan Akalbudi adalah dari Yayasan Al-Bukhary.

Mohd Fahmee kelihatan teragak-agak untuk menjawab soalan berkenaan dan pihak pendakwa mencelah supaya saksi diberi masa untuk menjawabnya.

Ketika disoal balas oleh pendakwa bagaimanapun Mohd Fahmee menyatakan wang yang dimasukkan ke dalam Yayasan Akalbudi adalah dari sumber-sumber yang tidak diketahui.

Peguam bela Datuk Zaidi Zainal berkata, sumber wang merupakan perkara utama perlu disiasat dalam pertuduhan menggubah wang haram seperti dihadapi tertuduh.

Saksi turut mengakui adalah bukan perkara yang pelik apabila Yayasan Akalbudi hanya mempunyai tiga orang ahli lembaga pengarah dan tidak mempunyai ahli, memandangkan Yayasan Al-Bukhary yang besar dan terkenal juga hanya mempunyai lima orang ahli lembaga pengarah serta tidak mempunyai ahli.

Peguam berkenaan juga membangkitkan bahawa tertuduh tidak pernah mengarahkan Omar Ali untuk menukarkan wang tunai kepada cek dan dimasukkan ke dalam akaun Yayasan Akalbudi.

Perkara itu dilakukan atas inisiatif saksi berkenaan kerana sebelum ini pihak bank telah menolak kemasukan sejumlah wang tunai yang cuba dimasukkan ke akaun lain.

Mohd Fahmee bersetuju dengan pernyataan peguam berkenaan.

Berdasarkan kenyataan saksi Omar Ali, Zaidi turut menyatakan adalah tidak benar Ahmad Zahid ada mengarahkan supaya semua transaksi tidak dilaporkan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) dan ia dipersetujui oleh Mohd Fahmee. – SM

 

 

 

(Visited 704 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button