Nasional

Patik mohon ampun Tuanku – Umany

PERSATUAN Belia Baru Universiti Malaya (Umany) hari ini memohon ampun kepada Yang di-Pertuan Agong kerana mempertikaikan fungsi ketua negara itu.

Dalam satu kenyataan, Umany menarik balik kenyataan bertajuk “YDPA Should Not Interfere in National Affairs” yang dipaparkan di halaman Facebook Bahasa Cina dan Bahasa Inggeris UMANY pada 30 Oktober 2020.

Umany berkata, penarikan balik kenyataan tersebut dibuat selepas merujuk kepada nasihat daripada ahli-ahli pakar perlembagaan.

“Patik Mohon Ampun Tuanku. Pihak Umany ingin menegaskan bahawa kami mematuhi sistem raja berperlembagaan di Malaysia serta menghormati peranan Yang  Dipertuan Agong dalam perlembagaan.

“Selain menzahirkan maaf kepada masyarakat, pihak Umany ingin secara khususnya mengemukakan permohonan maaf dan memohon ampun Tuanku atas kekurangan pemahaman kami terhadap perlembagaan,” kata Umany.

Persatuan pelajar itu, sekali lagi menekankan bahawa kenyataan yang dinyatakan pada 30 Oktober adalah untuk tujuan perbincangan akademik dan tidak berniat untuk menghasut.

Menurut mereka, Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia juga merupakan undang-undang zalim yang menindas kebebasan bersuara rakyat.

Selain memohon maaf, Umany menuntuk pihak polis untuk menghentikan segala siasatan yang dijalankan di bawah akta-akta tersebut terhadap ahli-ahli UMANY.

Mereka turut menggesa kerajaan agar memansuhkan undang-undang zalim ini yang menyekat kebebasan bersuara.

Pemimpin Umany sedang disiasat di bawah Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia selepas Universiti Malaya membuat laporan polis berhubung kenyataan itu.

Polis menyiasat kumpulan pelajar itu bawah Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Siasatan itu dibuat susulan kenyataan kumpulan berkenaan pada 30 Oktober berkaitan keputusan Yang di-Pertuan Agong tidak mengisytiharkan darurat seperti dicadangkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Bekas presiden Umany, Wong Yan Ke akan didakwa esok di Mahkamah Majistret Petaling Jaya.

Yan Ke ditangkap polis pada 7 Nov ketika polis melakukan serbuan ke atas penggantinya, Yap Wen Qing, di Petaling Jaya.-SM

 

(Visited 376 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button