Politik

Covid-19: Tidak hairan rakyat tidak begitu percaya kepada ahli politik

AHLI Parlimen PKR Wong Chen mendakwa Kerajaan Persekutuan tidak mengambil langkah yang secukupnya untuk membantu mengawal penularan wabak Covid-19 di Sabah.

Ahli Parlimen Subang itu berkata, Kerajaan Persekutuan perlu lebih banyak perkara untuk Sabah sebelum perkhidmatan kesihatan di sana benar-benar terbeban.

Ini berikutan negeri itu terus mencatatkan bilangan kes Covid-19 tertinggi sehingga kini.

Wong Chen mendakwa tindakan lambat Kerajaan Persekutuan menyebabkan rakyat tidak meletakkan kepercayaan yang tinggi terhadap ahli politik.

“Kita hanya dapat menolong Sabah dengan betul sekiranya kerajaan pusat menggerakkan kehendak politik yang sama seperti bulan lalu, ketika berkempen untuk undi Sabahan!

“Tidak hairanlah orang tidak begitu percaya kepada ahli politik; mereka menjanjikan langit sebelum pilihan raya dan kemudian gagal dalam krisis.

“Apa yang membuat penanganan krisis ini menjadi lebih menjijikkan, adalah kenyataan bahwa krisis ini dipicu oleh pembelotan katak politik,” kata Wong Chen.

PKR dan sekutunya Warisan Plus kalah dalam Pilihan Raya Negeri Sabah yang berlangsung hujung bulan lepas.

Pilihan raya itu menyaksikan Perikatan Nasional merampas negeri itu daripada pemerintahan Warisan kurang tiga tahun.

Untuk rekod, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telahpun meningkatkan kapasiti katil di hospital Sabah bagi merawat Covid-19 serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) di Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia membabitkan sembilan hospital merawat Covid-19 dan 21 PKRC di negeri itu.

“Bagi menampung peningkatan jumlah kes di Sabah, jumlah katil hospital Covid-19 dan PKRC ditingkatkan 2.5 kali ganda, iaitu daripada 2,129 katil pada awal September lalu kepada 5,414 katil dengan kadar penggunaan katil pada ketika ini adalah 35 peratus.

“Pada masa sama, penyediaan Hospital Medan (hospital sementara) dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Tawau yang akan menempatkan 100 katil bagi kegunaan pesakit bukan Covid-19 membolehkan lebih banyak katil di Hospital Tawau boleh digunakan untuk pesakit Covid-19,” katanya.

Mesin juga dipertingkatkan kepada 180 buah dengan kadar penggunaan adalah ketika ini sebanyak 32 peratus termasuk penggunaan bagi kes-kes bukan Covid-19.

Seramai 767 petugas perubatan dan kesihatan awam Kementerian Kesihatan (KKM) juga sudah dikerahkan ke lima daerah di Sabah bagi membantu menangani lonjakan kes COVID-19 di negeri itu.

Dr Noor Hisham, berkata semua petugas barisan hadapan itu digerakkan ke Tawau, Lahad Datu, Semporna, Sandakan dan Kota Kinabalu sejak awal peningkatan kes COVID-19 di kawasan berkenaan.

 

(Visited 198 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button