Nasionalpilihan

TMM2024 mampu perkasa semula pelancongan Melaka

Kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk membangunkan semula sektor pelancongan melalui pelbagai strategi
dengan hala tuju pembangunan Melaka untuk muncul sebagai tiga destinasi pelancongan popular di Malaysia dan terunggul di dunia.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, pelancaran Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024) mampu merancakkan kembali sektor pelancongan di negeri ini yang terjejas sewaktu pandemik Covid-19.

Menurutnya, sempena menyambut kemeriahan TMM 2024 kerajaan negeri telah mewajahkan Melaka dengan pelbagai produk pelancongan terbaharu seperti Melaka River Floating Market, Eco Cruise Sungai Linggi dan Melaka Car Free Zone atau Zon Bebas Kenderaan yang secara tidak langsung dapat memberikan lebih banyak pilihan destinasi pelancongan kepada para pelancong ke Melaka.

Siti Nurhaliza Tarudin mencuri tumpuan membuat persembahan pada Majlis Pelancaran TMM 2024 dan sambutan Ambang Tahun Baharu
2024 di Dataran Pengkalan Rama, Melaka.

“Saya mempelawa dan mengalu-alukan kepada semua, datanglah beramai-ramai berkunjung ke Melaka dan meraikan acara-acara utama dan produk-produk pelancongan baharu yang telah disediakan oleh kerajaan negeri.

“Kita menyediakan sebanyak 76 acara pelancongan termasuk 30 acara utama sepanjang TMM2024 dengan pelbagai program dan aktiviti dengan tema yang berbeza setiap
bulan.

“Kerajaan negeri juga telah menyediakan pelbagai hadiah menarik dan istimewa kepada pelancong bertuah yang datang dan menginap di hotel-hotel terpilih di Melaka dengan tawaran empat buah kereta untuk dimenangi setiap tiga bulan sekali,” ujarnya.

Beliau berucap pada Majlis Pelancaran TMM 2024 dan sambutan Ambang Tahun Baharu 2024 di Dataran Pengkalan Rama di sini malam tadi.

Majlis pelancaran penuh gilang-gemilang itu telah disempurnakan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam serta dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni, Warisan dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Ab. Rauf berkata, kerajaan negeri turut berbesar hati menerima kedatangan 40 orang delegasi daripada Lembaga Kebudayaan dan Pelancongan Guangxi.

Menurutnya, Wilayah Guangxi, China ini yang mempunyai 58 juta penduduk dan inisiatif ini bertujuan menarik lebih ramai pelancong dari China datang ke Melaka.

“Justeru, saya amat berbesar hati mengalu-alukan kehadiran delegasi ini yang diketuai oleh Gan Li selaku Setiausaha Kepimpinan Kumpulan, Jabatan Kebudayaan
dan Pelancongan, Wilayah Autonomi Guangxi ke Melaka bersama-sama Kumpulan Akademi Kesenian Liuzhou dan Kumpulan Akademi Kesenian dan Kebudayaan
Guangxi,” ujarnya.

Pada majlis pelancaran itu lebih 40,000 pengunjung hadir memeriahkan sambutan ambang Tahun Baharu dan pelancaran TMM2024 di Pengkalan Rama.

Lebih menarik sambutan tersebut turut disiarkan secara langsung ke Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan persembahan artis tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, Zamani, Siti Nordiana, Ernie Zakri serta pasangan adik-beradik, Ziana Zain dan Anuar Zain. – SM

(Visited 66 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button