Nasional

Covid-19: Tiba dari luar negara terus ke pusat kuarantin 14 hari

Tiada lagi kuarantin di rumah terhadap individu yang tiba dari luar negara. Bermula Jumaat  ini mana-mana rakyat asing atau warganegara Malaysia yang tiba dari luar negara akan ditempatkan di stesen kuarantin yang akan ditetapkan oleh Kerajaan.

Ini berikutan terdapat individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) termasuk peraturan kuarantin wajib di rumah.

Menurut Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sikap degil mereka yang pulang dari luar negara mengundang risiko penularan Covid-19 di Malaysia.

“Tindakan mereka ini adalah amat tidak bertanggungjawab dan pihak berkuasa akan mengambil tindakan yang tegas termasuk mengenakan kompaun RM1000 ataupun mendakwa di mahkamah dan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 6 bulan.

“Oleh itu, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP telah membuat keputusan bermula Jumaat ini untuk mewajibkan prosedur Kuarantin Wajib 14 hari kepada mana-mana warga asing atau rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara di Stesen Kuarantin yang ditetapkan oleh Kerajaan,” kata Ismail Sabri.

Menurutnya, mereka yang terlibat perlu menanggung sepenuhnya kos kuarantin di stesen kuarantin sama ada di Institut Latihan Awam (ILA) atau hotel berdasarkan kos yang telah dipersetujui sebelum ini.

Ismail Sabri berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengenal pasti serta mewartakan ILA atau hotel yang bersesuaian sebagai stesen kuarantin.

Susulan keputusan ini, warga asing atau rakyat Malaysia yang ingin pulang ke Malaysia tidak lagi diwajibkan menjalani ujian swab Covid-19 di negara asal dalam tempoh tiga hari sebelum tarikh penerbangan.

Dari 10 Jun sehingga 20 Julai 2020 seramai 22,480 orang telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk Lapangan Terbang KLIA.

Daripada jumlah itu, sebanyak 22,402 individu telah diperintahkan untuk menjalani home quarantine dan 78 orang lagi telah dibawa ke hospital.

Semalam sebanyak 403 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA dan KLIA2 dari United Kingdom, Indonesia, Qatar, Singapura, Pakistan, Jepun, China dan Thailand.-SM

(Visited 73 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button