BeritaNasional

Sanggup patah balik sebab anak tertinggal botol air Tupperware

CERITA budak sekolah rendah tertinggal botol air jenama Tupperware ini telah dikongsi lebih 20,000 pemilik akaun Facebook.

Walaupun cerita ini telah viral hampir seminggu yang lalu, tetapi saya kongsikan juga sebab sebagai lelaki saya memahami apa yang dilalui pemegang akaun Facebook ini iaitu seorang guru lelaki.

Sebabnya saya baru sahaja disoal siasat isteri kerana gagal memulangkan botol air jenis Tupperware yang saya pinjam untuk dibawa semasa bermain golf.

Saya pun tidak faham kenapa orang perempuan obses sangat dengan jenama berkenaan, walaupun air kosong tetap rasa air kosong walaupun diletak ke dalam bekas Tupperware.

Saya siarkan hantaran tanpa edit kerana bahasanya kelakar dan supaya dapat mengekalkan rasanya:

Pergi ambil anak kat sekolah tadi dah jam 6:30 dah pun. Sampai kat jaga, Asyraff naik motor aku. Baru nak gerak, dia cakap,

“Ayah. Beg duit adik tertinggal kat kelas. Ada duit RM8 lagi dalam tu untuk untuk belanja esok dan lusa.”

“Biar la beg duit tu. Esok pagi ayah pergi tengok.”

Aku malas nak masuk dalam sekolah dah. Jauh juga pagar ke kelas dia. Kami pun bergerak pulang. Baru sekejap bergerak, Asyraff cakap lagi,

“Botol air pun tertinggal ayah.”

“Sreeettttt!”

Terus aku brek emergency.

“Kenapa tak cakap? Duit hilang ayah boleh niatkan sedekah. Kalau botol air hilang, bukan setakat Adik kena marah. Ayah pun mungkin hilang nyawa. Tupperware ke dik?”

“Tak tahu jenama apa.”

Ah, Tupperware ke, Tipuware. Kalau tinggal botol air kat sekolah boleh hilang nyawa woih.

Yang kelakarnya, waktu anak aku masuk kelas, ada seorang lagi lelaki di temani anaknya baru keluar dari kelas darjah 3 tingkat atas. Dari jauh aku laung,

“Kenapa tu bang?”

“Tertinggal botol air cikgu!” Balasnya dari kejauhan.

“Tupperware ke?” Jerit aku lagi.

“Yaaaaa!”

“Kahkahkah.”

Kami gelak bersama. Laju dia gerak balik. Tak sempat nak ambil gambar bukti. Lewat balik pun boleh kena soal siasat juga weh. Bahaya main dengan kaum wanita ni. Seram. 😅

Waktu keluar pintu sekolah, guard pula tegur,

“Tertinggal apa cikgu?”

“Nyawa.”

Senyum je guard dengar jawapan aku. Entah dia faham entah tidak. Lantakkan.

Gitu je aku jawab lantas pecut balik rumah dengan penuh kelegaan.

#MFS
– Wanita bukan makhluk bumi –

Dipetik dari Facebook Mohd Fadli Salleh

 

(Visited 692 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.
Back to top button