Luar Negara

Covid-19: Tangguh dahulu pembukaan pulau peranginan Phuket

TANGGUH dahulu pembukaan pulau peranginan Phuket. Itu kata doktor terkemuka Thailand yang mendesak agar kerajaan Thailand menangguhkan dahulu pembukaan semula pulau peranginan Phuket kepada pelancong yang telah divaksin tanpa perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari, mulai 1 Julai ini nanti.

Dekan Fakulti Perubatan Hospital Siriraj Universiti Mahidol, Prof. Dr. Prasit Watanapa berkata, kadar vaksinasi yang rendah serta kemungkinan varian baharu akan dibawa masuk ke negara ini yang boleh menimbulkan ancaman baharu.

“Kuarantin dua minggu perlu dilakukan. Vaksin tidak berkesan terhadap semua varian. Ya sekarang tidak ada tetapi kemungkinan akan muncul varian baharu yang tidak dapat dikawal.

“Jika langkah-langkah untuk sekatan kawasan dan mengawal penularan tidak selari dengan vaksinasi, dan orang ramai anggap semuanya akan baik hanya kerana telah divaksin, saya fikir ia berbahaya.

“Jika ada penularan baharu di Phuket, saya fikir ia akan memburukkan lagi ekonomi,” katanya seperti dipetik oleh Thai PBS.

Di bawah rancangan “Phuket Sandbox”, pelancong asing yang telah divaksin tidak perlu menjalani kurantin wajib 14 hari namun mereka harus tinggal di pulau itu selama 14 hari sebelum pergi ke wilayah lain dalam negara.

Setakat 15 Jun lepas, sejumlah 6.78 juta orang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin termasuk 1.83 juta telah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19.

Sementara itu, Thailand meningkatkan usaha dalam memerangi Covid-19 di kilang-kilang ketika berlakunya lonjakan jangkitan.

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Apisamai Srirangsan berkata, pada masa ini terdapat 64,038 kilang di negara ini.

Menurut beliau, sejak gelombang ketiga pandemik Covid-19 dikesan pada April lalu, kes Covid-19 turut dilaporkan di kilang-kilang yang mengeluarkan pelbagai produk di 27 wilayah.

Oleh itu, katanya, Kementerian Perindustrian dan Jabatan Kesihatan akan melakukan pemeriksaan di kilang-kilang besar terutama kilang makanan.

“Organisasi pentadbiran tempatan dan gabenor wilayah mesti melakukan pemeriksaan untuk memastikan kilang-kilang ini mematuhi sepenuhnya peraturan kawalan penyakit untuk mencegah penularan Covid-19.

“Pegawai akan memberi nasihat kepada kilang-kilang yang didapati kurang mematuhi langkah kawalan penyakit,” katanya.

Tambah beliau, terdapat tiga kluster baharu telah dikesan di Samut Prakan, di pinggir Bangkok dengan kes Covid-19 yang disahkan dilaporkan di tiga kilang.

Sepanjang 24 jam lalu (semalam), Thailand mencatat 2,331 kes baharu Covid-19 dan 40 kematian, menjadikan jumlah jangkitan dalam negara kepada 204,595 dan 1,525 kematian.

Daripada kes baharu, 2,302 adalah jangkitan tempatan termasuk 462 melalui pengesanan kes aktif dan 29 kes import termasuk 12 yang masuk secara haram ke negara ini.

Beliau berkata, kematian baharu melibatkan 24 lelaki dan 16 wanita berusia antara 34 hingga 90 tahun termasuk 20 di Bangkok, Nakhon Pathom (lima), Ayutthaya (empat) masing-masing dua di Chon Buri, Pathum Thani dan Samut Prakan; dan masing-masing satu di Phetchaburi , Ratchaburi, Nakhon Sawan, Phatthalung dan Surat Thani. – SM

 

(Visited 55 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button