Nasional

COVID-19: Tak salah benarkan operasi sawit demi ekonomi Sabah

KERAJAAN negeri Sabah diminta mempertimbangkan semula keputusan lanjutan penutupan operasi kilang serta ladang kelapa sawit demi kesejahteraan rakyat negeri itu.

Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, meskipun ia selaras dengan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini,
adalah tidak salah membenarkan aktiviti-aktiviti yang terlibat dalam perusahaan keperluan asas meneruskan operasi.

Dalam aspek ini, Anifah yang juga bekas Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi mengingatkan, salah satu sumber pendapatan Sabah adalah melalui sektor kelapa sawit yang membawa lebih kurang RM1 bilion dari pendapatan cukai kerajaan negeri.

“Jangan nanti apabila sektor ini tidak lagi dapat menyumbang, kerajaan negeri Sabah akan menggunakan alasan tiada duit bagi mengurangkan bantuan rakyat. Sedangkan masih ada jalan yang dapat dilaksanakan yang sedikit sebanyak dapat membantu keadaan ekonomi Sabah.

“Tidak salah membenarkan aktiviti-aktiviti yang terlibat dalam perusahaan keperluan asas meneruskan operasi tapi dengan mematuhi peraturan-peraturan pencegahan wabak COVID-19.

“Antaranya mengamalkan jarak sosial, memakai alat-alat pencegahan COVID-19 dan sebagainya.

“Ini dapat membantu bukan sahaja memenuhi keperluan asas rakyat tetapi menyumbang kepada ekonomi kita yang sememangnya terkesan akibat wabak pandemik ini.

“Jangan sampai rakyat mati bukan sahaja disebabkan oleh COVID-19 tetapi kerana kelaparan,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Menurut Anifah, beliau memahami kerajaan negeri perlu bertindak sewajarnya demi keselamatan dan kesihatan rakyat namun keselamatan tanpa kesejahteraan rakyat juga akan mengundang masalah.

“Kesihatan memberi makna seseorang itu bebas penyakit, tetapi kesejahteraan membawa maksud seseorang mengambil langkah pencegahan supaya dirinya tidak berada dalam tekanan yang boleh menyumbang kepada penyakit.

“Misalnya, apabila berhadapan dengan masalah kewangan mahupun kerjaya, masalah itu boleh memberi kesan kepada emosi.

“Apabila emosi terganggu, kehidupan akan terganggu dan memberi kesan secara peribadi kepada diri, sekali gus mewujudkan tekanan dalam diri.

Ini boleh berlaku apabila rakyat kehilangan pekerjaan, sekali gus sumber rezeki mereka apabila para majikan tidak dapat membayar gaji mereka disebabkan keadaan ekonomi semasa di manamereka tidak dibenarkan beroperasi untuk penghasilan produk seperti minyak masak sebagai contohnya,” kata beliau.

Dalam hal ini, kata beliau, ia bukan sahaja boleh mengakibatkan para majikan tidak mampu membayar pekerja, malah sumber makanan asas seperti minyak masak hasil dari ladang dan kilang kelapa sawit juga akan berkurangan.

“Besar kemungkinan kadar jenayah juga bakal meningkat sekiranya keadaan ekonomi terus merudum dan rakyat hilang sumber pendapatan,” kata beliau.
-SM

Tags

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button
Close
Close