Nasional

Covid-19: Tahniah rakyat Malaysia!

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin mengucapkan tahniah kepada petugas barisan hadapan dan rakyat Malaysia kerana berjaya mengurangkan kes harian jangkitan virus Covid-19 dengan berkesan.

Semalam buat pertama kali Malaysia mencatatkan kes paling rendah iaitu satu jangkitan sahaja melibatkan warga asing. Hari ini jumlah kes aktif berbaki 85 orang dengan jumlah kes baharu sebanyak 3 kes.

Menurut Muhyiddin, trend penurunan jumlah kes harian tempatan sehingga merekodkan angka satu digit sejak akhir-akhir ini menunjukkan tahap kesedaran dan pengetahuan masyarakat tentang wabak Covid-19.

Malah penurunan kes turut disumbangkan kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang semakin tinggi..

“Alhamdulillah, buat pertama kali semalam negara kita mencatatkan kes harian COVID-19 terendah iaitu 1 kes import dan tiada kes jangkitan tempatan dalam kalangan warganegara dan bukan warganegara.

“Syabas dan jutaan terima kasih kepada ‘frontliners’ yang sehingga kini masih bertungkus-lumus mengawal penularan wabak COVID-19 di dalam negara. Pada masa yang sama, saya juga berbangga dengan seluruh rakyat Malaysia atas kerjasama yang sangat baik dalam mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Tahniah saya ucapkan kepada rakyat Malaysia,” kata Muhyiddin.

Menurut Muhyiddin, perkembangan positif ini sememangnya akan membuatkan rakyat Malaysia sangat teruja dan bangga.

Bagaimanapun beliau mengingatkan agar rakyat tidak terlalu selesa dan lalai dalam usaha terus mengawal jangkitan Covid-19.

“Ingin saya ingatkan dan tegaskan di sini. Rakyat perlu terus berwaspada, mengambil langkah pencegahan dan mematuhi SOP yang ditetapkan pada setiap masa walau di mana pun anda berada. Dalam tempoh PKPP ini, kita semua adalah ‘frontliners’.

“Kita semua memikul tanggungjawab yang sangat berat untuk melindungi keluarga, komuniti & Negara daripada wabak COVID-19. Insya-Allah saya yakin, dengan kerjasama dan komitmen seluruh rakyat Malaysia, kita akhirnya pasti akan berjaya memerangi COVID-19.

“Saya berbangga dengan anda semua. Saya bangga menjadi rakyat Malaysia,” kata Muhyiddin.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)  62 kes telah pulih dalam tempoh 24 jam dan dibenarkan discaj pada hari ini.

Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 8,437 kes atau 97.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.-SM

 

(Visited 255 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button