fbpx
Uncategorized

COVID-19: Sultan Selangor batal buka puasa, bertarawih bersama rakyat

SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah membatalkan tradisi berbuka puasa dan bersolat tarawih bersama rakyat di masjid-masjid seluruh Negeri Selangor tahun ini.

Keputusan tersebut diambil dengan perasaan berat hati oleh baginda setelah mengambil kira faktor keselamatan rakyat susulan penularan wabak berbahaya Covid-19 yang masih belum dapat dibendung sepenuhnya.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir berkata, pembatalan tradisi yang dilakukan setiap tahun itu bagi mengelak rakyat daripada risiko terkena jangkitan virus yang membawa maut itu.

“Di kesempatan ini, D.Y.M.M. Sultan Selangor menasihatkan umat Islam agar menyambut bulan Ramadan kali ini dengan menumpukan sepenuhnya kepada amal ibadat di samping sentiasa berwaspada, serta mematuhi panduan dan arahan terkini yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan serta pihak Kerajaan.

“Baginda turut mendoakan agar seluruh rakyat dijauhi daripada bala bencana serta dilindungi Allah Subhanahu Wata’la, dan berharap semoga wabak Covid-19 yang melanda negara ini dapat segera berakhir supaya rakyat dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa, sihat sejahtera, aman dan sentosa,” kata Mohamad.


BACA

Sementara itu Baginda akan meneruskan tradisi memberi sumbangan duit raya dan agihan zakat kepada asnaf serta golongan yang memerlukan akan diteruskan.

Sumbangan tidak akan disampaikan pada majlis berbuka puasa seperti tahun-tahun sebelum ini. Sebaliknya, Pihak Lembaga Zakat Selangor akan menyalurkan agihan zakat dan bantuan Hari Raya sebanyak RM500.00 kepada peberima menerusi pengkreditan terus ke akaun-akaun bank penerima.

Manakala, bagi penerima yang tidak memiliki akaun bank, Lembaga Zakat Selangor akan memberikan Baucer Tunai untuk dikeluarkan di mana-mana cawangan Bank Islam.-SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button