Luar Negara

COVID-19: Singapura rekod 506 kes baharu

 SINGAPURA mengesahkan tambahan 506 kes COVID-19 hari ini termasuk lima jangkitan dalam komuniti, menjadikan jumlah terkumpul kes positif di negara itu sebanyak 34,366.

Kementerian Kesihatan Singapura berkata daripada lima kes tempatan itu, siasatan mendapati dua adalah warganegara Singpura atau pemastautin tetap manakala tiga lagi pemegang pas kerja.

Data setakat tengah hari ini menunjukkan majoriti kes melibatkan pekerja asing di asrama, kata kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

Berdasarkan data penuh yang dikeluarkan lewat Jumaat, Singapura mengklasifikasikan 1,677 sebagai kes tempatan,  580 kes import dan 31,603 membabitkan pekerja asing tinggal di asrama.

Singapura yang pada Khamis mengumumkan semakan semula terhadap kriteria discaj bagi pesakit COVID-19 menyaksikan 1,337 kes lagi dibenarkan keluar dari hospital atau fasiliti kuarantin.

BERNAMA melaporkan Keseluruhannya 19,631 pesakit atau kira-kira 58 peratus daripada jumlah kumulatif 33,860 setakat Jumaat telah pulih.

Semakan semula itu menyaksikan mereka yang dinilai sebagai sihat secara klinikal pada hari ke-21 jangkitan akan dibenarkan discaj tanpa perlu menjalani ujian  polymerase chain reaction (PCR) seterusnya.

Kementerian berkata setakat Jumaat, seramai 13,745 pesakit yang bergejala ringan atau sihat dari segi klinikal namun diuji positif COVID-19 telah diasing dan dirawat di fasiliti komuniti.

Setakat ini, 461 kes masih dirawat di hospital dengan lapan berada di unit rawatan rapi manakala 23 meninggal dunia.

Singapura turut mengenal pasti dua kluster baharu semalam, kedua-duanya melibatkan asrama di 35, Kaki Bukit Place dan di 40, Kaki Bukit Industrial Terrace.

Tiada kes berkaitan kluster terbesar di negara ini iaitu S11 Dormitory @ Punggol dilaporkan pada Jumaat, menjadikan jumlah kes kekal pada 2,685 manakala asrama terbesar Singapura, Sungei Tengah Lodge di 500, Old Choa Chu Kang Road mencatatkan tiga lagi kes menjadikan jumlah keseluruhan 1,969 kes.

Sementara itu, kes kluster Keppel Shipyard di 51, Pioneer Sector 1 dan 2, Tuas Avenue 1 telah ditutup selepas tiada jangkitan baharu berkait dengan kluster tersebut dilaporkan sepanjang dua tempoh inkubasi.

Sementara kes positif COVID-19 di Indonesia terus meningkat kepada 25,773 kes, dengan kematian kini berjumlah 1,573 orang.

Menurut jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, Achmad Yurianto, bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 557 tambahan kes positif baharu, manakala 53 lagi kematian berlaku dalam tempoh berkenaan.

“Ketika ini juga seramai 12,832 pesakit masih dalam pemantauan COVID-19,” katanya dalam sidang media hariannya yang disiarkan menerusi YouTube rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia.

Provinsi Jakarta mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu 516 kes, diikuti Jawa Timur (372 kes), Jawa Barat (144) dan selebihnya di wilayah lain di Indonesia.

 

(Visited 76 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button