Luar Negara

COVID-19: Singapura melebihi 32,000 kes dengan 383 kes baharu

SINGAPURA memaklumkan tambahan 383 kes baharu COVID-19 setakat tengah hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan wabak itu sebanyak 32,343 kes dengan 15,738 pesakit pulih setakat ini.

Data mengenai kes baharu menunjukkan hanya seorang warga Singapura atau penduduk tetap manakala selebihnya adalah pemegang permit kerja yang tinggal di asrama pekerja asing, kata Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu dalam satu kenyataan.

“Jumlah kes yang rendah hari ini disebabkan tidak banyak ujian yang dilakukan,” kata kementerian itu, sambil menambah bahawa pihak kementerian masih meneruskan perincian kes-kes tersebut dan akan memberikan maklumat terkini lewat hari ini.

Data penuh yang dikeluarkan semalam, Singapura mengklasifikasikan 1,668 sebagai kes komuniti, 580 adalah kes import manakala 29,712 melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama.

Setakat semalam, 607 kes yang disahkan masih dirawat di hospital dengan lapan daripadanya dilaporkan dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi, sementara 23 telah meninggal dunia.

Kementerian itu berkata 15,592 kes yang bergejala ringan atau baik dari segi klinikal tetapi masih diuji positif untuk COVID-19, diasingkan dan dirawat di fasiliti komuniti.

Memandangkan tiada lagi kes yang dikaitkan dengan Sembcorp Marine Admiralty Yard di Admiralty Road West untuk tempoh dua inkubasi lepas, kluster itu kini ditutup.

Tidak ada kluster baharu yang dikenal pasti semalam, sementara kluster terbesar di republik itu, S11 Dormitory @ Punggol kini mempunyai sejumlah 2,680 kes yang disahkan.

Sementara itu, asrama terbesar di Singapura, Sungei Tengah Lodge di 500 Old Choa Chu Kang Road, mempunyai sejumlah 1,955 kes yang disahkan.

Sementara Thailand melaporkan dua kes baharu COVID-19 dan satu kematian dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlahnya kepada 3,042 kes dan 57 kematian, sejak wabak itu melanda pada Januari.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CSSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata kematian terbaharu itu melibatkan seorang wanita berusia 68 tahun dari wilayah selatan Chumphon, yang merupakan kontak rapat kepada pesakit yang disahkan dijangkiti wabak itu serta mempunyai sejarah penyakit diabetes, masalah buah pinggang dan tekanan darah tinggi.

Beliau berkata dua kes baharu COVID-19 ialah seorang wanita Cina yang merupakan isteri kepada warga Itali, pesakit disahkan COVID-19 di Phuket dan seorang tukang urut wanita Thailand berusia 55 tahun yang menjalani kuarantin di sebuah kemudahan negeri setelah pulang dari Rusia. – BERNAMA

(Visited 132 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button