fbpx
Luar Negara

COVID-19: Singapura laksana intervensi fiskal terbesar dalam sejarah

Kerajaan telah membelanjakan trilion dolar

PERDANA Menteri Singapura Lee Hsien Loong memberi peringatan kepada rakyat, seperti kerajaan lain, langkah sokongan kewangan atau intervensi fiskal yang besar di negara republik itu tidak dapat melindunginya daripada perubahan yang berlaku dalam ekonomi global akibat COVID-19.

“Kerajaan telah membelanjakan trilion dolar untuk menyokong perniagaan, ekonomi dan pekerjaan. Bagaimanapun, berpuluh juta pekerjaan hilang. Keluarga berdepan kesukaran.

“Kita sepenuhnya berada dalam keadaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” kata Hsien Loong dalam satu daripada enam siri siaran nasional mengenai masa depan Singapura selepas pandemik COVID-19, semalam.

Selain Hsien Loong, Timbalan Perdana Menteri , Heng Swee Keat dan empat menteri lain akan menyampaikan ucapan dalam siri siaran nasional itu bermula Ahad (semalam) hingga 20 Jun ini.


Mereka akan memberi penjelasan mengenai gambaran masa depan Singapura pada pasca COVID-19 dan menyusun rancangan agar negara itu lebih kuat dalam menempuh waktu-waktu kesukaran.

Hsien Loong berkata, Singapura turut terjejas apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) republik itu dijangka menguncup antara 4.0 dan 7.0 peratus pada tahun ini yang disifatkannya sebagai “penyusutan paling buruk pernah kami alami.”

Untuk melindungi pekerja, isi rumah dan syarikat, Perdana Menteri berkata, kerajaan Singapura melaksanakan empat belanjawan negara secara berturut-turut.

“Kami menyuntik hampir S$100 bilion atau 20 peratus daripada KDNK, intervensi fiskal terbesar dalam sejarah kami,” katanya.

Bagaimanapun, beliau melahirkan keyakinan bahawa republik itu mampu menikmati masa depan yang cerah walaupun berdepan cabaran yang besar pada masa ini.

“Perdagangan dan pelaburan antarabangsa mungkin merosot namun ia tidak akan hilang sepenuhnya.

“Sebahagian aliran akan dialihkan atau terhenti namun saluran baharu yang lain akan dibuka. Pasaran luar negara masih ada di samping peluang dalam perkongsian antarabangsa,” katanya.

Selain COVID-19 dan cabaran ekonomi, Hsien Loong berkata, Singapura perlu menguruskan isu-isu penting lain di peringkat domestik dan luaran.

“Di peringkat luaran, kami perlu mengharungi landskap strategik yang mengalami perubahan.

“COVID-19 telah memburukkan hubungan Amerika Syarikat dan China. Tindakan dan tindak balas semakin meningkatkan ketegangan hari demi hari.

“Ia akan menjadi lebih sukar kepada negara-negara yang berpihak kepada kedua-dua kuasa itu. Ia lebih berbahaya kepada negara kecil seperti Singapura,” ujar Hsien Loong.

Sehubungan itu, beliau berkata, negara republik itu antara lain perlu bekerjasama dengan negara-negara yang sehaluan untuk menyokong perdagangan bebas dan multilateralisme. – BERNAMA

(Visited 1 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button