fbpx
Nasional

COVID-19: Satu kematian, 14 kes baharu dilaporkan

SATU kematian akibat Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan keseluruhan 128 kes, mewakili 1.37 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kematian itu melibatkan wanita tempatan berusia 80 tahun dari Kluster Tawar.

Ia merupakan antara kes positif dilaporkan pada 15 Ogos dalam Kluster Tawar serta mempunyai latar belakang penyakit barah paru-paru dan darah tinggi.

“Beliau mula mengalami gejala demam dan sakit dada sejak 6 Ogos dan telah dimasukkan ke sebuah pusat perubatan. Pada 14 Ogos, beliau dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang setelah didapati positif COVID-19.

“Keadaan kesihatan beliau merosot dengan komplikasi daripada penyakit barah justeru memerlukan bantuan pernafasan sejak 24 Ogos. Beliau disahkan meninggal dunia pada 1 Sept pukul 10.38 pagi,” katanya dalam sidang media perkembangan terkini COVID-19 di Putrajaya hari ini seperti yang dilaporkan Bernama.


Terdapat 14 kes baharu dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 9,354 kes.

Lima daripada kes baharu itu adalah kes import yang melibatkan bukan warganegara.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 151 kes.

“Lima kes import itu adalah dari negara Ukraine, Pakistan dan Indonesia (masing-masing satu kes di Selangor) serta Filipina yang melibatkan dua kes di Sabah,” katanya.

Bagi penularan tempatan, beliau berkata terdapat lima kes yang melibatkan warganegara iaitu dua di Kedah (satu kes daripada Kluster Tawar manakala satu lagi daripada Kluster Telaga) manakala di Sabah pula terdapat tiga kes.

“Di Sabah, satu kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Benteng LD (Lahad Datu), satu kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) di Hospital Lahad Datu dan satu kes saringan tahanan di penjara,” katanya.

Selain itu, empat kes jangkitan dalam negara yang melibatkan bukan warganegara adalah daripada Kluster Benteng LD di Sabah.

Beliau berkata terdapat 21 kes telah pulih daripada virus itu menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya adalah sebanyak 9,075 kes iaitu 97 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Dalam pada itu, terdapat lima kes positif COVID-19 yang ditempatkan di unit rawatan rapi dengan tiga daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Mengenai perincian Kluster Tawar, Dr Noor Hisham berkata di Kedah, seramai 17,335 orang telah disaring dengan 64 kes dikesan positif manakala 15,853 individu negatif dan 1,418 individu masih menunggu keputusan.

“Di Pulau Pinang pula kekal 534 saringan dengan 11 kes dikesan positif dan 523 individu negatif. Di Perak kekal 11 saringan yang mana semua adalah negatif. Tiada saringan baharu,” katanya.

Bagi Kluster Telaga pula, seramai 1,008 orang telah disaring setakat 12 tengah hari dengan jumlah kes dikesan positif ialah enam.

Di Pulau Pinang, terdapat satu saringan yang masih menunggu keputusan manakala selebihnya ialah saringan di Kedah dengan enam kes dikesan positif, 968 negatif dan 33 individu masih menunggu keputusan.-SM

(Visited 14 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button