fbpx
Nasional

Covid-19: Sabah bangun portal bantu usahawan terjejas

PARA usahawan dan peniaga di negeri Sabah yang terjejas akibat pandemik Covid-19 akan dibantu terutama dengan membimbing mereka menggunakan platform e-dagang.

Untuk itu, kerajaan Sabah melalui Kementerian Pembangunan Industri dan agensi-agensi di bawahnya dalam proses membangunkan satu portal usahawan untuk menyenaraikan semua usahawan yang ada di negeri itu.

Melalui maklumat-maklumat terperinci mengenai usahawan Sabah di portal tersebut ia akan digunakan oleh semua kementerian dan agensi yang mempunyai program pembangunan usahawan.

“Apabila portal ini siap dibangunkan pada tahun hadapan, ia akan diletakkan di bawah pengelolaan Kementerian Pembangunan Perindustrian,” kata Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr. Joachim Gunsalam dalam satu kenyataan.

Katanya, penularan pendemik Covid 19 sejak Mac 2020  menyebabkan ramai usahawan terkesan terutamanya usahawan kecil.


Oleh itu katanya, kerajaan akan membantu mereka bangun semula dengan membimbing golongan usahawan itu berniasa secara online.

Joachim yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah berkata, pihak kementerian dan agensi di bawahnya telah dan sedang berkolaborasi dengan beberapa pihak swasta di Sabah untuk memasarkan produk-produk industri kecil sedarhana (IKS) Sabah secara e-dagang ke pasaran tempatan Sabah, Semenanjung dan juga ke peringkat global.

Malah pihak kementeriannya juga telah mengambil beberapa inisiatif seperti bekerjasama dengan Persatuan Usahawan Digital Industri Kecil Sabah (PERDIKS) untuk memasarkan produk-produk keluaran IKS Sabah melalui Epasar Sabah dan online Shopee Malaysia.

“Kolaborasi-kolaborasi lain pihak kementerian ini dan agensi di bawahnya dengan pihak swasta untuk memasarkan produk-produk Sabah adalah dengan platform marketplace BorneoKaki dan ShopDirect,” jelasnya.

Bagi membantu usahawan terbabit katanya, pihak kementeriannya menganjurkan kursus-kursus pemasaran online melalui media sosial media untuk usahawan.

“Selain daripada itu, pihak Kementerian juga menganjurkan kursus Sistem Digital Perakaunan bagi IKS memacu transformasi digital di Sabah.

“Selari dengan tuntutan semasa, latihan anjuran SEDCO melalui Sedcovest Holdings Sdn. Bhd. turut menerapkan pendigitalan perniagaan di kalangan usahawan.

“Sepanjang 2019-2020, sebanyak 10 kursus berkaitan perniagaan atas talian dianjurkan melibatkan seramai 232 peserta. Modul-modul yang dilaksanakan termasuk pemasaran era digital, pengiklanan Facebook, serta penggunaan Facebook dan Instagram untuk perniagaan.

“Untuk 2021, sebanyak empat kursus lagi akan dianjurkan meliputi modul reka bentuk grafik dan web, penulisan dan pemasaran digital.

Joachim memberitahu, pihak kementerian juga membangunkan platform membeli-belah digital untuk memasarkan produk-produk IKS Sabah dan juga hasil-hasil keluaran produk mikro dan desa.

“Platform yang lengkap dengan sistem applikasi tempahan dan pembayaran sedang disiapkan hujung bulan ini dan akan dilancarkan pada tidsk lama lagi . Sistem applikasi ini dikenali sebagai GoNet dan boleh dimuat turun dari Google Play dan Apple Store.

“Dalam Applikasi GoNet, terdapat satu seksyen yang dinamakan GoBiz yang dibangunkan oleh Kementerian ini untuk memasarkan produk-produk dan  perkhidmatan keluaran Sabah secara percuma.

“Pihak Kementerian juga akan terus berkolaborasi dengan pihak swasta untuk mempromosi dan memasarkan produk-produk Sabah di platform-platform marketplace yang telah diusahakan oleh pihak swasta seperti platform Tamuku dan My Borneoshop,” katanya.

“Selain itu, Sedcovest juga sedang bekerjasama dengan sebuah pembangun aplikasi perniagaan atas talian dari Sabah bagi memasar & melaksanakan transaksi produk-produk tempatan melalui platform maya yang berfungsi sama seperti Lazada dan Shopee.

“Melalui kolaborasi ini, sejumlah 2,000 usahawan di bawah SEDCO dijangka menggunakan platform berkenaan dalam tempoh tiga hingga lima tahun,” katanya. – SM

(Visited 37 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button