NegeriPendidikanRencah Hidup

Najihah Husna raih ‘Gold Award’ pertandingan esei Komanwell

PELAJAR Tingkatan 5 Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Sheikh Ahmad (SMKDSA) Arau Perlis, Najihah Husna Abdul Wahid berjaya meraih ‘Gold Award’ pada pertandingan ‘The Commonwealth Essay Competition 2023 – A Youth-Powered Commomwealth’.

Daripada penyertaan sebanyak 34,924 dari seluruh dunia, kurang satu peratus daripada jumlah penyertaan tersebut mendapat Gold Award dan Najihah Husna , salah seorang daripadanya dengan esei yang berjudul ‘Age is Just A Number’.

Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen berkenan bergambar dengan guru dan pelajar sempena Majlis Hari Anugerah Kecemerlangan SMKDSA, Arau.

Beliau merupakan seorang pelajar yang berfikiran optimis, seimbang dari aspek akademik mahupun kokurikulum.

Penglibatan dalam aktiviti kokurikulum tidak menjejaskan pencapaian akademiknya dan telah menerima Anugerah Tokoh Kokurikulum di peringkat sekolah.

Maklumat ini telah dipersembah maklumkan kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil semasa berkenan berangkat merasmikan Majlis Hari Anugerah Kecemerlangan SMKDSA, Arau.

Keberangkatan tiba Baginda berdua di Dewan Dato’ Haji Wan Ahmad sekolah tersebut disambut oleh Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah Negeri Perlis, Hamidi Md Saad dan Pengetua SMKDSA, Adilah Muhammad Nor.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah semasa menyempurnakan Majlis Hari Anugerah Kecemerlangan SMKDSA, Arau.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, ‘Pengiktirafan dan penghargaan daripada pihak sekolah ini diharap dapat menyuntik semangat para pelajar untuk terus maju jaya dan mencapai kejayaan dalam bidang akademik mahupun kokurikulum’.

Baginda bertitah, sekolah juga memainkan peranan sebagai wadah dalam pembinaan sikap, tingkah laku dan nilai para pelajar yang merupakan modal insan yang dipertanggungjawabkan untuk mencorakkan masa depan negara.

“Harapan beta agar warga sekolah ini akan meneruskan kecemerlangan dan meningkatkan lagi usaha dalam menyediakan pendidikan berkualiti tinggi”, titah Tuanku Raja Muda lagi.

Adilah pula dalam ucapanya menyatakan, sekolah ini telah meraih pelbagai pencapaian yang membanggakan sama ada dalam bidang akademik mahupun koakademik.

Beliau merakamkan jutaan terima kasih atas komitmen jitu guru-guru SMKDSA dalam menyediakan pelajar ke arah kecemerlangan sama ada dalam akademik, kokurikulum dan sahsiah diri.

Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang lalu telah menunjukkan peningkatan dengan GPS sebanyak 2.76 berbanding tahun sebelumnya sebanyak 3.01.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan pengurniaan Anugerah Yayasan Tuanku Syed Putra kepada Teoh Li Jia.

Teoh Li Jia kini melanjutkan pelajaran di Kolej Matrikulasi Perlis merupakan pelajar cemerlang di negeri Perlis dengan memperoleh 11A+ bagi semua mata pelajaran seterusnya sekolah ini juga berjaya mendapat tempat ke-4 keseluruhan negeri Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan mengurniakan salah satu anugerah kepada pelajar sempena Majlis Hari Anugerah Kecemerlangan SMKDSA, Arau.

Manakala Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akasha pula menyempurnakan pengurniaan Anugerah Pencapaian Peringkat Antarabangsa Kategori Inovasi, Kategori Woodball dan Kategori Esei.

Antara anugerah lain yang disempurnakan oleh Duli-Duli Tuanku termasuklah, Tokoh Sukan, Amsyar Sirhan Saifullah Saharuddin, Tokoh Sahsiah, Anis Nur Izzani Aziz, Tokoh Pelajar Harapan, Mok Qin Sheng dan Anugerah Dato’ Wan Ahmad, Nur Sabriena Zaki. – SM

BACA Public Bank Taja RM20,000 untuk Pertandingan Esei Kebangsaan Bahasa Inggeris 2021

(Visited 65 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button