Nasional

Rina Harun nafi kompaun Rumah Bonda RM5,000 guna budi bicara

MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun berkata, kadar kompaun terhadap Rumah Bonda sebanyak RM5,000 bukan atas dasar budi bicaranya sebaliknya berlandaskan undang-undang sedia ada.

Beliau berkata, dakwaan bahawa beliau bertindak melindungi pusat jagaan itu adalah tidak benar.

“Banyak sangat fitnah yang mengatakan saya melindungi Rumah Bonda dan sebagainya…kena faham dan ingat…kita memberikan saman itu mengikut akta, jadi akta itu menyebut kompaunnya RM5,000…bukan saya yang tentukan.

“Ia mengikut undang-undang sedia ada…itu bukan bawah budi bicara saya, itu adalah yang termaktub dalam akta,” katanya menurut laporan Bernama hari ini.

Semalam, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam kenyataannya menafikan Rina bersubahat melindungi Rumah Bonda selain menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas serta berunsur fitnah.

KPWKM turut memaklumkan bahawa segala tindakan diambil Jabatan Kebajikan Masyarakat sejak Julai 2021 ke atas Rumah Bonda adalah berdasarkan peruntukan undang-undang.

Kenyataan itu merujuk kepada hantaran di laman Instagram pada 12 Jun lalu yang mempertikai nilai kompaun penguatkuasaan ke atas Rumah Bonda hanya RM5,000 dan menuduh Rina bersubahat melindungi pusat jagaan berkenaan.

Sementara itu, Rina berkata, perbincangan telah dilakukan bersama Kementerian Sumber Manusia berkaitan inisiatif perlindungan sosial untuk suri rumah.

Beliau berkata, KPWKM turut menyokong penggubalan Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Suri Rumah dan berharap ia akan dilulus serta dilaksanakan demi kepentingan wanita.

Rabu lalu, Setiausaha Wanita Perikatan Nasional, Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, kerajaan perlu mengumumkan segera pelaksanaan inisiatif perlindungan sosial suri rumah yang telah dipersetujui sebelum ini. – SM

 

(Visited 354 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button