Ekonomi

Bank Rakyat perluas eAppointment bagi perkhidmatan cawangan

Bank Rakyat memperluaskan sistem janji temu dalam taliannya yang dikenali sebagai eAppointment bagi perkhidmatan lain di cawangan berikutan sambutan yang menggalakkan daripada sistem eAppointment Ar-Rahnu yang dilancarkan pada 1 Julai 2021.

Sejak pelancarannya, lebih 3,300 slot janji temu bagi perkhidmatan Ar-Rahnu telah ditempah oleh pelanggan.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dato’ Syed Abdul Aziz Syed Hassan berkata, inisiatif ini merupakan komitmen berterusan Bank Rakyat bagi mengekang penularan wabak COVID-19 dengan memanfaatkan penggunaan teknologi dan pendigitalan sekali gus meningkatkan produktiviti dan kecekapan perniagaan.

“Keperluan penjarakan fizikal yang disebabkan oleh wabak COVID-19 juga menjadikan lebih penting bagi institusi kewangan untuk mengadaptasi perniagaan mengikut norma baharu dan sentiasa memastikan bahawa interaksi pelanggan dan warga kerja Bank di cawangan kekal selamat,” katanya.

Beliau berkata, pelanggan Bank Rakyat kini boleh menggunakan platform eAppointment untuk membuat janji temu bagi mendapatkan perkhidmatan lain di cawangan seperti pembukaan akaun, pelaksanaan transaksi deposit atau pengeluaran, permohonan pembiayaan, urusan pembayaran, penyelesaian pembiayaan secara sebahagian atau sepenuhnya dan kiriman wang.

“Pelanggan boleh memilih slot tarikh dan waktu janji temu yang bersesuaian bagi mendapatkan perkhidmatan perbankan yang dikehendaki. Selain itu, pelanggan juga boleh membuat janji temu sekurang-kurangnya sehari lebih awal dari tarikh yang dijadualkan.

“Justeru, menerusi platform eAppointment ini, adalah diharapkan dapat membantu pelanggan Bank Rakyat sedia ada untuk merancang masa urus niaga perbankan mereka dengan lebih lancar dan mudah,” ujar beliau.

Kini, pelanggan boleh membuat janji temu bagi mendapatkan perkhidmatan ini mulai 16 Ogos 2021 di 147 Cawangan Bank Rakyat dan 25 Rakyat Xcess dan 27 Ar-Rahnu X’Change milik Bank Rakyat di seluruh negara.

Untuk membuat tempahan janji temu, pelanggan boleh melayari laman web rasmi www.bankrakyat.com.my atau akses terus melalui  https://appointment.bankrakyat.com.my atau mengimbas kod QR eAppointment yang terdapat di cawangan Bank Rakyat atau Ar-Rahnu X’Change Bank Rakyat.

Pada 1 Julai lalu, Bank Rakyat telah memperkenalkan platform eAppointment bagi perkhidmatan Ar-Rahnu yang bertujuan untuk memberikan pengalaman dan kemudahan lebih baik kepada pelanggannya termasuk mengurangkan isu kesesakan di cawangan ketika pandemik COVID-19. – SM

(Visited 159 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button