Nasional

Muhyiddin rasa bertuah mempunyai rakyat yang berdisiplin

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan perasaan bangga terhadap rakyat Malaysia yang berdisiplin dan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan oleh kerajaan.

Menurutnya, beliau berasa bertuah memimpin rakyat Malaysia yang bersama-sama mengharungi cabaran yang dicetuskan oleh wabak Covid-19.

“Saya bertuah kerana anda semua adalah insan yang berdisiplin dan patuh kepada ndang-undang. Tahap pematuhan PKP di negara kita adalah tinggi.

“Ini  menunjukkan saudara-saudari semua faham akan kepentingan menjaga kesihatan dan keselamatan diri.
Teruskanlah sikap yang terpuji ini.

“Teruslah berusaha, berdoa dan bertawakkal. InsyaAllah kita akan berjaya mengharungi ujian ini bersama-sama. Kepada Allah jualah kita berserah,” kata Muhyiddin dalam pengumuman khas sebentar tadi.

Menurutnya, sebagai Perdana Menteri beliau bertanggungjawab menjaga keselamatan nyawa rakyat. Setiap nyawa adalah berharga. Kehilangan satu nyawa akibat maut virus itu juga satu kehilangan besar kepada negara.

“Baik bayi, orang muda, orang dewasa atau warga emas, semuanya bernilai. Kehilangan satu nyawa kerana virus ini bukan bererti kehilangan kepada suami, isteri, anak-anak atau keluarga terdekat sahaja, tetapi juga satu kehilangan besar buat negara.

“Kerana itu, marilah kita bersama-sama menjaga kesihatan diri kita, keluarga kita dan orang-orang di sekeliling kita dengan mematuhi perintah kawalan pergerakan.

“Biarlah saya ingatkan anda bahawa peperangan menentang Covid-19 ini masih belum berakhir. Perjuangan masih diteruskan. Setakat ini kita berjaya mengharunginya, jadi kuatkan semangat teruskan perjuangan. Jika kita tabah, insyaAllah kita akan menang!” kata Muhyiddin.

BACA

Beliau berkata golongan seperti petugas barisan hadapan dari segi kesihatan dan keselamatan, selain sektor penyediaan dan penghantaran makanan telah memainkan peranan murni menyemai amalan kekeluargaan antara satu sama lain tanpa mengira bangsa, agama dan kaum di negara ini.

“Terima kasih kepada insan-insan yang bermurah hati membungkus makanan untuk dihantar kepada para petugas di barisan hadapan. Mereka buat secara percuma tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Anda adalah insan yang hebat.

“Begitu juga kepada anda yang bekerja menghantar makanan. Sama ada grab food, food panda atau lain-lain. Anda mengambil risiko. Orang lain duduk di rumah, anda keluar rumah untuk pastikan orang lain boleh makan.

“Anda melakukan satu pekerjaan yang mulia. Pesan saya, jaga kesihatan, jaga keselamatan, jangan bawa motor laju-laju. Anda juga insan yang hebat,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung menerusi stesen-stesen televisyen, hari ini.

Muhyiddin berkata, petugas barisan hadapan di hospital kerajaan dan swasta juga tidak terkecuali, yang sanggup mengambil risiko berkhidmat dengan cekal untuk menyelamatkan nyawa orang lain.

Perdana menteri dalam perutusan itu turut menghargai pengorbanan anggota keselamatan dan keamanan negara seperti polis dan tentera yang sanggup berpanas dan berhujan namun tetap menjalankan tugas yang diberikan.

“Juga kepada anggota Imigresen, Angkatan Pertahanan Awam, Bomba, RELA, pihak berkuasa tempatan dan lain-lain agensi yang turut membantu. Saya ucapkan terima kasih,” katanya.

Muhyiddin menyifatkan, keluarga besar ini perlu dijaga walau di mana sahaja mereka berada dalam memperlihat persaudaraan rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa.

“Pendek kata, kita ibarat sebuah keluarga besar. Kita saling bantu membantu ketika zaman susah. Kita jaga keluarga kita. Kita jaga jiran kita. Kita jaga masyarakat kita. Baik kita di kampung, di kawasan perumahan, di kondominium, di rumah flat. Kita jaga kita,” katanya. -SM

 

(Visited 450 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button