NasionalParlimen

Hak Perdana Menteri tetapkan tarikh sidang Parlimen

YANG di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun berkata, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhak menetapkan tarikh untuk Parlimen bersidang semula atas alasan yang dirasakan wajar.

Azhar berkata, komitmen Muhyiddin untuk mengadakan sidang Parlimen sekitar September atau Oktober tidak terlalu lewat sebaliknya mencukupi bagi menghadapi krisis Covid-19.

“Perdana menteri berkuasa menetapkan tarikh sidang Parlimen dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Beliau berhak memanggil sidang mengikut Perlembagaan malah beliau telah menyatakan secara rasional berkenaan kewajaran tempoh tersebut,” katanya.

Tambah beliau, antaranya kerana angka Covid-19 dan sebagainya, jadi bagi pihak Parlimen, kita menunggu tarikh persidangan ditetapkan nanti,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong berpandangan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin untuk membahaskan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara.

Dalam kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menyedari peranan penting Parlimen untuk membincangkan isu berkaitan Covid-19.

Kelmarin, ketika mengumumkan Pelan Pemulihan Negara yang merangkumi empat fasa Muhyiddin berkata, Parlimen boleh bersidang semula dalam Fasa III Pelan Pemulihan Negara iaitu sekitar September atau Oktober.

Katanya, kerajaan akan menimbangkan peralihan dari Fasa I ke Fasa II apabila purata kes harian berkurangan bawah 4,000 kes, sistem kesihatan awam tidak lagi di tahap kritikal dan 10% penduduk lengkap dua dos vaksin.

Muhyiddin berkata, negara akan beralih ke Fasa III jika purata kes harian turun ke bawah 2,000 kes, sistem kesihatan awam di tahap selesa dengan kadar penggunaan katil ICU di paras mencukupi dan 40% penduduk lengkap dua dos vaksin.

Beliau menjangka semua sektor ekonomi akan dapat dibuka seawal akhir Oktober apabila negara memasuki Fasa IV, dengan purata kes harian Covid-19 berkurangan kepada 500 kes ke bawah dan 60% penduduk lengkap dos suntikan vaksin. – SM

 

(Visited 98 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button