Politik

Isu Veveonah dimuatkan dalam manifesto PN dilancarkan PM esok

Isu melibatkan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin yang tular sehingga terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet di kampungnya di pedalaman negeri Sabah akan menjadi salah satu inti pati penting dalam manifesto Perikatan Nasional (PN) yang akan dilancarkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kota Kinabalu esok.

Mengesahkan hal itu, Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, keutamaan kepada komunikasi maya terutama di pedalaman Sabah yang diakui tidak begitu baik akan turut menjadi fokus kempen gabungan politik PN dikenali Gabungan Rakyat Sabah disertai Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam pilihan raya negeri ke-16 itu.

“Contohnya, apa yang terjadi kepada Veveonah Mosibin.Ini memang kita akui dan dalam pelancaran manifesto esok 16 September oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memang sudah ada (perancangan memastikan capaian internet di Sabah).

“Keutamaannya kepada komunikasi maya terutama di pedalaman yang memang tidak begitu baik,” katanya, dipetik dari wawancara beliau dengan Utusan Malaysia disiarkan hari ini.

Sebelum ini, tular video yang menunjukkan Veveonah yang juga pelajar jurusan Asasi Sains UMS berada di atas pokok untuk mendapatkan capaian internet yang lebih baik bagi menjawab soalan peperiksaan pada 12 Jun lalu.

Pada 3 September lalu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang juga Ahli Parlimen Padang Besar membuat kenyataan dalam Dewan Negara bahawa kisah diceritakan Veveonah dalam satu video yang dimuat naik di Youtube adalah palsu dan sekadar untuk menaikkan nama sendiri.

Zahidi kemudian mengakui terkhilaf semasa mendakwa Veveonah yang juga personaliti YouTube menipu kononnya terpaksa memanjat pokok bagi mendapat liputan internet bagi menjawab peperiksaan yang diadakan secara dalam talian.

Menurut Zahidi, beliau mengakui memperoleh maklumat daripada Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abdul Rahim Bakri .

Pada 7 September lalu, Abdul Rahim yang juga Ahli Parlimen Kudat mendakwa isu yang dicetuskan Veveonah video berkenaan adalah palsu, malah beliau menganggap pelajar terbabit hanya ‘membuat drama’ bagi meraih perhatian.

Mesyuarat Jemaah Menteri minggu lalu bersetuju isu sebenar dihadapi Veveonah adalah berkaitan masalah capaian internet di kawasan pedalaman.-SM

(Visited 217 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button