Nasional

Covid-19: Penggunaan Aplikasi Mudah Alih Dalam Pengajaran & Pembelajaran STEM

 

Oleh Siti Aminah Mohammad

Berikutan pandemik Covid-19, bermula Mac 2020, kebanyakan institut pengajian tinggi telah memulakan proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) secara atas talian. Ia kedengaran mudah.

Namun, perlaksanaanya adalah mencabar kerana ia menuntut anjakan minda dan komitmen yang signifikan. Ini lebih terasa dalam PdP mata pelajaran Sains, Teknologi dan Matematik (STEM). Timbul persoalan, bagi menggantikan kaedah konvensional PdP STEM, apakah dan bagaimanakah aplikasi mudah alih dapat digunakan dengan efektif dalam membuat simulasi dan amali maya?

Teras kepada persoalan ini terletak kepada keupayaan pensyarah menyusun dan mengolah semula kandungan STEM untuk disesuaikan dengan kaedah maya yang memberi tumpuan kepada proses, manipulasi data dan pemikiran secara kritikal.

Pertama sekali, sepertimana juga subjek aliran sosial, pensyarah perlu sesuaikan diri dengan fleksibiliti waktu PdP dan menguasai aplikasi seperti ‘Whatsapp’, ‘Telegram’, ‘Google Classroom’ dan lintas langsung (live streaming) seperti ‘Google Meet’ dan ‘Zoom’ untuk membolehkan perbincangan interaktif secara maya. Bahan rujukan mesti disediakan dalam bentuk e-book.

Kedua, bagi menggantikan sesi makmal dan amali STEM, sebagai tambahan kepada aplikasi di atas, PdP STEM memerlukan pensyarah menyediakan rakaman video/slaid (suara latar) berdurasi pendek untuk setiap topik dan sub-topik. Soalan-soalan kuiz, latihan dan sebagainya pula dibangunkan melalui ‘Quizizz’, ‘Google Form’, ‘Word’, ‘Powerpoint’ dan ‘Excel’ untuk menguji tahap kefahaman pelajar.

Ketiga, aplikasi mudah alih lain yang boleh digunakan ialah ‘Youtube’, ‘Phet Simulations’ dan ‘Classzone Virtual Lab’. Untuk mengukuhkan kefahaman, pelajar perlu menjawab soalan pra-amali, mengambil data dan memanipulasi data, menjawab soalan selepas amali dan membuat laporan berkaitan topik yang diberi.

Ia diiikuti dengan perbincangan dan perkongsian di media sosial seperti halaman kumpulan ‘Facebook Pendidik STEM’ dan seminar-seminar atas talian yang berkaitan bagi meningkatkan lagi keberkesanan penyampaian PdP STEM atas talian.

Ya, banyak persoalan mengenai keberkesanan keberkesanan penyampaian PdP STEM secara maya ini masih belum dapat dijawab dengan tuntas. Ia sememangnya satu persoalan yang sukar.

Tetapi, apa yang yang pasti ialah PdP secara maya ini memberi pengalaman dan momentum berbeza kepada pelajar dan pendidik. Ia sebenarnya banyak bergantung kepada variasi dan kekerapan interaksi dan komunikasi berkesan antara pendidik dan pelajar.

Apapun, aplikasi mudah alih itu hanyalah alat yang digunakan dalam penyampaian PdP. Dalam erti kata lain, pendidik dan pelajar adalah sebenarnya pengatur dan pengawas untuk aplikasi yang digunakan supaya ia dapat befungsi dengan baik dan memberi kesan yang diharapkan.

Buat masa ini, pengajar dan pelajar STEM tidak punya banyak Pilihan. Pandemik Covid-19 ‘memaksa’ ramai pihak untuk mula melihat dunia PdP STEM dalam perspektif yang lebih luas dan berbeza.

Mungkin ini peluang untuk pihak berkenaan untuk menilai, memperkenal dan menyelaras kaedah baharu bagi menggabungkan PdP STEM secara maya dengan sistem konvensional. Kerana akhirnya, tiada siapa yang rela dirawat oleh seorang doktor perubatan yang tidak pernah melakukan kerja amali atau ujikaji makmal.

Penulis adalah pensyarah Kanan Fakulti Sains Gunaan UiTM Cawangan Sabah

(Visited 654 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button