Nasional

COVID-19: Pelan kontingensi tukar fungsi Kompleks Rawatan Harian HTAR

Pemindahan pesakit COVID-19 ke Kompleks Rawatan Harian (ACC) yang ditukarkan fungsi sebagai Wad COVID-19 adalah pelan kontigensi yang diambil bagi Pengurusan Bencana Peringkat Hospital.

Pengarah Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Dr. Zulkarnain Mohd Rawi berkata, pada 8 Julai 2021, Wad G2 dan G3 yang berdekatan dengan Jabatan Kecemasan dan Trauma telah dikenalpasti sebagai tempat yang boleh digunakan untuk merawat pesakit COVID-19.

Kata beliau, pada 9 Julai 2021 pula, ACC telah dicadangkan untuk ditukarkan fungsinya sebagai wad merawat pesakit COVID- 19 demi memastikan pesakit mendapat rawatan dalam ruang yang selesa.

“Kriteria untuk menempatkan pesakit-pesakit COVID-19 ke Wad COVID-19 Berisiko Rendah adalah atas keputusan pihak pengurusan wad, dan ia bukan daripada Jabatan Kecemasan dan Trauma,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, trend semasa di Jabatan Kecemasan dan Trauma menerusi kes harian oleh Unit Pengurusan Katil adalah antara 150 sehingga 180 pesakit.


“Justeru, kenyataan yang telah tular mendakwa Jabatan Kecemasan dan Trauma telah “dikosongkan” kerana menerima lawatan daripada Perdana Menteri pada 13 Julai 2021 adalah tidak benar kerana jabatan berkenaan sudah sememangnya penuh dengan pesakit.

“Manakala, pesakit yang masih belum menerima rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma setakat 13 Julai 2021 adalah seramai 177,” katanya.

Beliau juga menjelaskan pemindahan Doktor Pelatih HTAR dari Asrama Doktor Pelatih ke bangunan Asrama Pelajar Perubatan Universiti Malaya (UM) yang lebih selesa bertujuan untuk mengoptimumkan penggunaan Blok A, B dan C Asrama Doktor Pelatih memandangkan Blok D Asrama Doktor Pelatih telah pun digunakan sebagai Pusat Saringan COVID (PSC) sejak April lalu.

Kata beliau, lawatan ke Blok A Asrama Doktor Pelatih telah diadakan oleh Pengarah HTAR bersama Unit Pembangunan, Jabatan Perubatan, Unit Pentadbiran dan Unit Fasiliti Hospital pada 5 Julai 2021.

“Berdasarkan lawatan berkenaan, keputusan telah dibuat oleh Pengarah untuk menukar fungsi Blok A dan B Asrama Doktor Pelatih sebagai Wad COVID-19 Kategori 1 dan 2,” katanya.

Sehubungan dengan itu, jelas beliau, penghuni Blok A Asrama Doktor Pelatih yang menempatkan 10 Doktor Pelatih wanita dan Blok B (2 Doktor Pelatih lelaki) akan dipindahkan ke Asrama Pelajar Perubatan UM selepas kerja kerja penyelenggaraan dibuat di Blok B Asrama Pelajar Perubatan UM Blok dan Blok E Asrama Pelajar Perubatan UM.

Notis, kata beliau, telah dikeluarkan kepada semua penghuni di Blok A dan Blok B Asrama Doktor Pelatih supaya keluar dalam tempoh empat hari sejak 9 Julai 2021 (Jumaat) untuk berpindah ke Asrama Pelajar Perubatan UM.

“Pada masa yang sama, pihak konsesi akan membuat kerja-kerja penyelenggaraan di Asrama Pelajar Perubatan UM untuk menerima Doktor Pelatih yang sebelum ini ditempatkan di Asrama Doktor Pelatih.

“Selepas semua pemindahan Doktor Pelatih ke Asrama Pelajar Perubatan UM selesai dilakukan pada 12 Julai 2021, fungsi Blok A dan B Asrama Doktor Pelatih telah ditukarkan kepada Wad COVID-19 Berisiko Rendah,” katanya.

(Visited 508 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button