Nasional

Raja Muda Perlis sempurnakan perletakan asas kiblat masjid UniMAP

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan ‘Majlis Perletakan Asas Kiblat Bagi Projek Pembinaan Masjid dan Pusat Islam Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)’ di Kampus Alam UniMAP Pauh Putra baru-baru ini.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga merupakan Tuanku Pro Canselor.

Keberangkatan baginda selaku Tuanku Canselor dan Raja Puan Muda disambut oleh Mufti Perlis Dato Arif Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Naib Canselor, Prof Ts Dr Zaliman Sauli.

Menurut persembahan taklimat oleh wakil daripada Pasukan Projek Persekutuan Negeri Jabatan Kerja Raya Negeri Perlis yang merupakan Wakil Pegawai Penguasa Utama Projek, inisiatif ini adalah bertujuan bagi membangunkan Pusat Islam dan Masjid yang mengandungi Pejabat, Masjid dan Bangunan Sokongan yang baru yang akan dapat menampung keperluan tempat beribadat khusus untuk pelajar dan kakitangan UniMAP secara khasnya dan penduduk sekitar secara amnya.

Keistimewaan utama bagi rekabentuk projek yang bakal menyediakan ruang solat berkapasiti 3,000 jemaah dengan keluasan 4,158 meter persegi untuk masjid dan 1,904 meter persegi untuk Pusat Islam ini ialah dari segi konsep keseluruhannya di mana ia adalah hasil gabungan beberapa siri konsep Senibina terkemuka Islam seperti Ottoman, Parsi, Mughal India, Mesir serta Moor berartikulat Afrika Utara dan sebahagian Sepanyol dan Portugal.

Selain itu, keunikan rekabentuk Masjid terletak pada 12 binaan kubah dan 2 ’vaults’ yang belum ada lagi di mana-mana masjid di negeri Perlis ini.

Untuk rekod, berdasarkan sejarah, agama Islam telah mula bertapak di negeri Perlis sejak akhir abad ke-12. Justeru itu angka 12 di ambil sebagai signifikan pada permulaan agama Islam di Negeri Perlis.

Sebelum berangkat pulang, Tuanku Syed Faizuddin Putra menegaskan kepada kontraktor yang diamanahkan untuk melaksanakan projek ini iaitu Gabongan Pemborong Bumiputra Perak Berhad supaya memastikan berjaya menyiapkan kompleks tersebut pada 9 Oktober 2024 seperti yang dipersetujui dengan menjamin kualiti yang terbaik dan tanpa kompromi tentang isu keselamatan para penggunanya kelak.

(Visited 323 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button