NasionalParlimenPendidikan

PTPTN: Dah pinjam, bayar balik, graduan kelas pertama pun sama

ADAT meminjam, mesti bayar balik walaupun pinjaman itu ialah PTPTN dan tanpa mengira graduan kelas kedua atau pertama, tetap kena bayar balik.

Ini berita dan keputusan yang disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin pada sesi sidang Dewan Rakyat di Parlimen, pagi tadi.

Hadamlah semua graduan bahawa tiada pengecualian automatik bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada graduan yang menamatkan pengajian ijazah sarjana muda kelas pertama.

Beliau berkata, bagi pengecualian itu PTPTN perlu membuat permohonan untuk kerajaan mendapatkan peruntukan bagi membiayainya.

“Soal untuk mengecualikan bayaran balik pinjaman kepada mereka yang mendapat keputusan cemerlang bergantung kepada permohonan PTPTN kepada kerajaan untuk mendapat peruntukan bagi membiayai pengecualian itu.

“Permohonan dibuat kepada Kementerian Kewangan dan ini bergantung kepada setiap tahun bajet yang diumumkan, jadi ia bukan automatik dan bergantung kepada peruntukan diberikan oleh kerajaan,” katanya.

Khaled berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukanan Chong Zhemin (DAP-Kampar) pada sesi Waktu Pertanyaan Jawab Lisan di Dewan Rakyat.

Sementara itu, beliau berkata, buat masa ini kerajaan tidak merancang untuk memansuhkan hutang pinjaman PTPTN bersasar kepada golongan miskin dan isi rumah B40.

Katanya, berdasarkan unjuran awal PTPTN, cadangan pemansuhan hutang pinjaman kepada golongan itu akan membabitkan 1.84 juta peminjam dengan jumlah pelupusan hutang sebanyak RM42.34 bilion.

“Terdapat pelbagai cara dan inisiatif dilakukan dalam usaha memudahkan peminjam daripada golongan itu.

“Antaranya penangguhan bayaran balik jika menyambung pengajian atau belum mendapat pekerjaan dan penstrukturan semula bayaran balik pinjaman mengikut kemampuan.

“Selain itu, pemberian diskaun bayaran balik jika dilakukan bayaran secara sekali gus dengan penuh dan bayaran balik hanya bermula selepas 12 bulan peminjam menamatkan pengajian bagi memberi ruang membuat persediaan sewajarnya serta memperoleh pendapatan yang stabil sebelum memulakan bayaran balik,” katanya.

Khaled menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) bila program pemansuhan hutang PTPTN bersasar kepada golongan miskin dan isi rumah B40 akan mula diperkenalkan dan jumlah penerima manfaat. – SM

(Visited 214 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button