Nasional

Helikopter bomba terhempas di Subang, tujuh terselamat

SEBUAH helikopter milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia  terhempas di Subang ketika menjalankan ujian penerbangan pagi tadi namun semua tujuh penumpang termasuk juruterbang di dalamnya selamat.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) berkata tujuh penumpang termasuk juruterbang dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

CAAM berkata helikopter Leonardo S.p.A AW189 itu terhempas di hangar Institut Teknologi Penerbangan Malaysia Universiti Kuala Lumpur (UniKL MIAT), yang terletak berhampiran Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah.

Menara kawalan trafik udara lapangan terbang itu menerima laporan mengenai nahas itu pada 11:52 pagi dan perkhidmatan bomba dan penyelamatnya bertindak balas dengan segera.

CAAM berkata siasatan akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara kementerian pengangkutan mengikut Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Kapten Norazman Mahmud mengesahkan insiden itu dalam satu kenyataan media pada Sabtu:

Jelasnya, tujuh penumpang termasuk juruterbang terselamat dan berada dalam keadaan stabil.

“Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan insiden kemalangan sebuah helikopter jenis Leonardo SpA AW189, nombor pendaftaran 9M-BOF di kawasan apron UniKL MIAT Hangar dekat Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor pada Sabtu, 22 Julai 2023.

“Helikopter yang dikendalikan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) itu sedang menjalani ujian penerbangan,” jelasnya.

Bagaimanapun ujarnya, ketika sesi ujian, helikopter terbabit terhempas di kawasan hangar.

“Menara kawalan trafik udara Subang menerima laporan kemalangan pada jam 11.52 pagi dan Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS) telah bertindak segera terhadap insiden tersebut,” katanya lagi.

Dimaklumkan juga siasatan lanjut akan dijalankan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kementerian Pengangkutan mengikut Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016. – SM

(Visited 212 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button