Nasional

Covid-19: Madrasah di Putatan cetus kluster baharu di Sabah

KLUSTER Pandan-Pandan di Putatan, Sabah menjadi kluster terbaharu institusi pendidikan di negeri bawah bayu itu dengan 16 kes kumulatif direkodkan setakat ini, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.

Beliau berkata, kluster Pandan-Pandan melibatkan jangkitan di Madrasah Darul Hadis Sabah, Kampung Pandan-Pandan dengan kes indeks membabitkan seorang guru lelaki berusia 53 tahun.

“Kes indeks bergejala demam, batuk, selsema dan sakit badan pada 17 Januari lalu dan hasil ujian saringan pada hari sama mendapati beliau positif Covid-19.

“Saringan terhadap kontak rapat mendapati 15 orang disahkan positif terdiri daripada keluarga kes indeks, kakitangan dan pelajar.

“Semua kes positif telah dikuarantin dan menerima rawatan yang sesuai,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Sebelum ini, dua kluster institusi pendidikan direkodkan membabitkan kluster Jalan Kepayan Lama dengan 36 kes dan kluster Jalan Pertukangan, 73 kes.

Sementara itu Masidi berkata, sebanyak 256 kes baharu Covid-19 direkodkan semalam menjadikan jumlah kumulatif setakat ini 245,079 kes.

Beliau berkata, sebanyak 223 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif 237,297 kes manakala dua kematian akibat pandemik turut direkodkan.

Dalam pada itu katanya, bersempena sambutan Tahun Baharu Cina, kerajaan negeri membenarkan aktiviti makan besar pada 31 Januari nanti.

Turut dibenarkan, kunjungan (ziarah) (31 Jan hingga 15 Feb), upacara sembahyang (1 dan 2 Feb), sembahyang khas Hokkien (8 dan 9 Feb) dan sembahyang Chap Goh Mei (15 Feb) dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Turut dibenarkan ialah resepsi sempena sambutan itu, persembahan tarian singa, naga, unikorn dan harimau pada 31 Januari sehingga 15 Februari, katanya.

Masidi berkata, antara SOP ditetapkan adalah pemakaian pelitup muka, satu meter penjarakan fizikal, tiada aktiviti bersentuhan, mematuhi tempoh waktu ditetapkan serta kapasiti ruang terhad kepada 50%. – SM

 

(Visited 135 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button