Nasional

Mydin rugi RM320,000: Stok minyak botol 5kg berbaki 80,000

GOLONGAN peruncit akan mengalami kerugian besar disebabkan harga siling baharu minyak masak dalam botol 5kg ditetapkan pada RM34.70.

Menurut Pengarah Urusan yang juga pemilik pasar raya Mydin, Ameer Ali Mydin, pasar raya besar, misalnya, tidak akan dapat menjual stok sedia ada sebelum harga siling baharu RM34.70 bermula 8 Ogos ini.

“Bagi barangan yang mempunyai jangka hayat simpan lebih lama, seperti minyak masak atau sos, kami mempunyai simpan stok kira-kira sebulan di gudang dan kedai kami,” katanya kepada FMT.

Pada pandangan Ameer, minyak masak bukan seperti ayam atau tomato yang bekalannya kita dapatkan setiap hari.

Katanya, beliau difahamkan kerajaan mahu mengawal harga minyak masak memandangkan pengeluar tidak menurunkan harga dan rakyat terjejas.

“Bagus mereka beri kami notis seminggu tetapi hakikatnya kami tidak akan dapat habiskan stok dalam masa seminggu. Ramai yang akan menangguhkan keputusan membeli minyak masak sehingga minggu depan.

“(Mydin) beli stok minyak masak kami pada harga RM38 sebotol dan kami jual pada harga RM39.90. Stok minyak masak kami sekarang bernilai RM3 juta.

“Jika kami terpaksa jual setiap botol pada harga RM4 kurang daripada harga kami beli maka kami akan rugi besar.

“Siapa yang akan tanggung kerugian itu?” katanya sambil menambah walaupun stok berbaki 80,000 botol sebelum 8 Ogos, ia bermakna kerugian mencecah RM320,000.

Ameer berkata, walaupun selepas kerajaan menarik balik kawalan harga, peruncit tidak boleh menaikkan harga semalaman kerana mereka membeli stok pada harga lebih murah.

“Jika kami menaikkan harga semalaman, kami akan melanggar Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan tidak boleh menggunakan mekanisme kawalan harga bahan makanan segar untuk minyak masak.

“Kebimbangan saya, peruncit akan berhenti simpan stok barangan jika masalah ini tidak diselesaikan kerana bimbang rugi. (Langkah) ini boleh menyebabkan kekurangan.”

Beliau mencadangkan kerajaan mengarahkan pengilang memberi nota kredit kepada peruncit untuk stok tidak terjual yang mereka beli sebelum harga siling baharu diumumkan.

Semalam, Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa mengumumkan harga minyak masak dalam botol 5kg dihadkan kepada RM34.70 mulai 8 Ogos ini.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, harga itu akan ditetapkan secara bulanan dan dikira berdasarkan harga minyak sawit mentah pada bulan sebelumnya – SM

(Visited 585 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button