Nasional

Cape cafe masuk UPSI tawar harga menu RM1.70 untuk warga kampus, peserta SUKIPT 2022

Zaman sekarang sudah berubah dan harga makanan pun mahal. Namun, cakna dengan keperluan para atlet terhadap kenaikan harga makanan semasa itu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengambil inisiatif menjemput sebuah kafe harga patut untuk beroperasi di Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS) sekali gus memberi peluang kepada para atlet Sukan Institut Pengajian Tinggi (SUKIPT) menikmati sajian makanan serendah RM1.70.

Ketua Sekretariat SUKIPT 2022, Datuk Dr Pekan Ramli (tiga dari kiri) turut sarapan bersama warga sekretariat di Cape Cafe Arena UPSI.

Dengan adanya Cape Cafe di KSAS, ia bagaikan pucuk dicita , ulam mendatang. Apalagi, ketika ini hampir 8,000 atlet dan pegawai suklan setiap kontinjen berkampung di UPSI untuk bertarung sempena SUKIPT 2022.
Menurut Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff , Cape Cafe tidak asing buat warga Tanjung Malim yang sudah terkenal dengan jualan hidangan berharga RM1.70 dan beroperasi di daerah tersebut sejak lima tahun lalu.

Naib Canselor UPSI Prof Datuk Md Amin Md Taff

Sebagai universiti yang prihatin kepada warganya, langkah melantik Syarikat Capecafe Resources menjalankan perniagaan kafeteria di UPSI adalah amat bertepatan sebagai menyokong amanat Menteri Pengajian Tinggi memperkasa Aspirasi Keluarga Malaysia di IPT.

Bendahari, Mohamad Najib Mohamed

“Menariknya terdapat lebih 40 menu sajian makanan lengkap dengan minuman, snek dan pencuci mulut, bukan sahaja boleh dinikmati para kontinjen SUKIPT dan warga UPSI, sebaliknya orang ramai yang berkunjung ke bumi Muallim semasa temasya sukan ini berlangsung,” katanya.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) , Prof Dr Norkhalid Salimin menganggap kehadiran Cape Cafe ke dalam kampus adalah satu rahmat kepada pelajar UPSI apabila pelajar pulang sepenuhnya ke kampus pada Oktober depan,” katanya.

“Kami berterima kasih kepada pengusaha Cape Cafe yang sangat prihatin dan bersifat ihsan terhadap warga kampus, malah menggembirakan atlet yang sedang bersaing sempena SUKIPT 2022,” katanya.

Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed pula menganggap inisiatif ini juga selaras usaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk memperkasakan Food Basket Siswa Keluarga Malaysia yang dilancarkan sebagai inisiatif tambahan dengan menawarkan menu makanan berkualiti dengan harga siling RM3.50 per hidangan.

Beliau berkata bagaimanapun, menerusi pelan pemasaran Cape Cafe dilihat dapat menawarkan harga jauh lebih murah membuktikan masih ada lagi pengusaha makanan yang mampu menyahut saranan ini.

Pengusaha Cape Cafe Wan Hairul Azuwan Wan Hemat (berdiri kiri sekali) melayan pengunjung, Zullaili (duduk berkopiah) bersama para sukarelawan SUKIPT yang berkunjung di kafe.

Pemilik dan pengusaha Cape Cafe Resources, Wan Hairul Azuwan Wan Hemat, 42, berkata, kesemua harga makanan, minuman, kudapan dan pencuci mulut masih menggunakan harga yang sama RM1.70 sejak memulakan operasi restoran 5 tahun lalu.

“Kisahnya begini, saya yang menetap di Lembah Kelang sering pulang ke kampung isteri, Kampung Gesir Tengah, Kuala Kubu Bharu bersempadan dengan Tanjung Malim merasakan purata harga makanan di sekitar daerah ini agak tinggi jika dibandingkan dengan Kuala Lumpur.

“Dengan kepadatan warga pelajar dari UPSI, Politeknik Sultan Azlan Shah, Giatmara Tanjung Malim dan beberapa pusat pengajian swasta di daerah Muallim, saya rasa mungkin dengan mengusahakan kafe harga berpatutan di Taman Anggerik, Tanjung Malim dapat membantu anak-anak kita yang sedang melanjutkan pengajian di sini,” jelasnya ketika ditemui.

Cape Cafe yang terletak di Arena UPSI menyajikan semua hidangan dengan harga RM1.70 mula beroperasi di UPSI semalam.

Antara menu yang menjadi tumpuan yang dihidangkan ialah nasi lemak, nasi putih rendang ayam, nasi ayam penyet, nasi ikan talapia seekor, mi tomyam, bakso, chicken chop, kentang goreng, kek bronis aiskrim, ubi kayu sambal bilis serta pelbagai minuman panas dan sejuk disajikan dengan harga RM1.70 semuanya.

Menyambut hasrat universiti, Cape Cafe yang memulakan operasi di Arena Pusat Sukan Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City diserbu pengunjung daripada pelbagai latar belakang.
Pengunjung Zullaili Harun, 55, yang menziarah anaknya ke UPSI sangat gembira dengan adanya kafe harga yang sangat berpatutan ini.

“Saya dah cuba makan, Alhamdulillah rasanya sedap dan amat berpatutan serta wajar mendapat sokongan dan dapat jimat belanja,” jelasnya ditemui.
Wakil kontinjen Universiti Malaysia Pahang (UMP), Zikrul Muhd Zahid,32, yang turut menikmati menu RM1.70 di Cape Cafe juga berpuashati dengan menu yang ditawarkan.

“Saya tidak sangka ada kafe jual makanan murah dengan harga RM1.70 dan ia wajar diusahakan di kampus-kampus seluruh negara,” jelasnya.

(Visited 1,576 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button