NasionalUncategorized

Aktiviti jualan langsung bantu rancakkan ekonomi domestik

PERTUMBUHAN memberangsangkan sektor jualan langsung di negara ini berupaya membantu usaha kerajaan merancakkan semula pertumbuhan ekonomi domestik yang terjejas akibat penularan pandemik COVID-19.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata keyakinan itu bersandarkan prestasi memberangsangkan sektor berkenaan, terutama angka jualan yang direkodkan.
Katanya, sehingga September 2020, industri aktiviti jualan langsung di negara ini merekodkan nilai jualan berjumlah RM17.8 bilion, meningkat daripada RM15.9 bilion pada 2018 dan RM17 bilion (2019).

“Ia jelas memperlihatkan pertumbuhan mampan sektor itu di Malaysia, malah turut diyakini mampu mencapai sasaran jualan RM20 bilion menjelang akhir tahun ini walaupun berdepan cabaran ekonomi semasa akibat COVID-19.

“Ini meletakkan Malaysia pada kedudukan ketujuh di peringkat global dari segi nilai jualan direkodkan, selain keempat di Asia Pasifik seperti dilaporkan Persekutuan Persatuan Jualan Langsung Dunia (WFDSA) melalui laporan tahunan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Konvensyen Persatuan Jualan Langsung Malaysia (DSAM) 2020 yang diadakan secara maya, di sini hari ini.

Turut menyertai majlis perasmian secara maya itu ialah Presiden DSAM, Datuk Tan Chong Guan dan Pengarah Eksekutif DSAM, Lawrence Cheah merangkap Majlis Penasihat Persatuan WFDSA Asia Pasifik.

Alexander ketika mengulas lanjut, berkata kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) komited dalam menyokong pertumbuhan sektor itu, dengan mengadaptasi perubahan trend perniagaan dan perdagangan norma baharu di negara ini.

Jelasnya, keutamaan KPDNHEP untuk membantu mempermudahkan aktiviti perniagaan di negara ini, sekali gus memastikan operasi perniagaan dapat dijalankan secara lebih cekap dan efisyen.

“Ini termasuk memudahkan proses memperbaharui Lesen Jualan Langsung tanpa mengenepikan aspek pematuhan syarat dan peraturan termaktub di bawah Akta Jualan Langsung. Malah, kita turut memudahkan permohonan kebenaran untuk aktiviti pemasaran dan pengiklanan bagi tujuan promosi.

“Syarikat kini hanya perlu memaklumkan kepada kementerian sebelum kempen mereka bermula. Ini membuktikan keyakinan dan kepercayaan kita bahawa pemain industri sentiasa mematuhi syarat dan peraturan dilaksanakan,” katanya.

Alexander ketika mengulas lanjut, berkata KPDNHEP turut mengambil maklum beberapa perkara berbangkit dikemukakan DSAM, termasuk cadangan pindaan Akta Jualan Langsung dan Akta Skim Piramid 1993, selain isu penjualan produk jualan langsung secara tidak sah atas talian.

“Ini sedang diperhalusi di peringkat kementerian, malah turut membabitkan kerjasama pemain industri jualan langsung dan penyedia perkhidmatan e-dagang bagi mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung perkara itu,” katanya.

Sementara itu, beliau menjelaskan Belanjawan 2021 jelas memperlihatkan konsistensi kerajaan, khususnya KPDNHEP ke arah usaha membina semula ekonomi negara yang mencakupi semua sektor dan industri, termasuk jualan langsung.

“KPDNHEP turut memperjuangkan insentif percukaian bagi kesemua sektor dan industri di bawah seliaannya. Jika diteliti, insentif percukaian tersedia untuk mana-mana syarikat yang mengadaptasikan Revolusi Industri 4.0, teknologi pendigitalan dan transformasi teknologi bagi perkhidmatan berkaitan,” katanya.

Alexander berkata, KPDNHEP juga sedang memformulasikan pelan industri Jualan Langsung dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), khusus bagi merangka hala tuju strategik industri itu untuk menyumbang kepada pemerkasaan sosio-ekonomi negara,

Katanya, pelan strategik itu penting seiring dengan keupayaan industri jualan langsung menyumbang kepada usaha pengukuhan ekonomi negara, selain kepentingannya dalam mewujudkan banyak peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat. – SM

(Visited 234 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button