Nasional

Covid-19: Kampus UTHM Pagoh ditutup untuk dekontaminasi

Oleh BERNAMA

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengumumkan penutupan seluruh premis kampus cawangan Pagoh untuk proses dekontaminasi mulai hari ini bagi membendung penularan Covid-19.

Menurut pekeliling rasmi Naib Canselor UTHM, Prof Wahid Razzaly, pihak universiti akan menjalankan proses dekontaminasi melibatkan keseluruhan premis di kampus berkenaan yang akan dijalankan secara menyeluruh.

“Sehubungan itu, seluruh kampus UTHM Cawangan Pagoh akan ditutup bermula 16 Mac sehingga 19 Mac ini bagi memberi ruang kepada proses dekontaminasi untuk diadakan secara menyeluruh dengan baik,” katanya menerusi pekeliling itu yang dimuat naik di Facebook tengah malam tadi.

Penutupan kampus itu akan melibatkan keseluruhan staf akademik dan bukan akademik kecuali staf pusat kesihatan universiti, pejabat pembangunan dan penyenggaraan, serta bahagian keselamatan dan kolej kediaman.

Tambah beliau, proses kuarantin dan saringan akan terus berjalan mengikut tatacara sedia ada dan penempatan mereka yang terlibat akan dikekalkan sehingga sebarang keputusan hasil daripada proses saringan diperoleh.

“Semua staf akademik dan pentadbiran dibenarkan untuk bekerja dari rumah dan staf tidak perlu merekod kehadiran keluar masuk di kampus. Rekod kehadiran bagi kesemua staf yang terlibat akan dikemas kini secara automatik oleh pejabat pendaftar,” kata Wahid.

Beliau berharap agar semua pihak sentiasa mematuhi langkah pencegahan bagi mengelak penularan Covid-19 daripada berleluasa.

Semalam, UTHM mengesahkan seorang petugas universiti itu positif Covid-19 dan kini dirawat di Hospital Permai.-BERNAMA

(Visited 830 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button