fbpx
Luar Negara

COVID-19: Jumlah korban di seluruh dunia kini cecah 170,042 orang

JUMLAH kematian COVID-19 di seluruh dunia  melebihi 170,000 pada Isnin, menurut laporan Johns Hopkins University lapor agensi berita Anadolu.

Data universiti itu menunjukkan seramai 170,042 terkorban manakala jumlah jangkitan dan pesakit yang sembuh masing-masing sebanyak 2,473,209 dan 646,012.

Amerika Syarikat terus menjadi negara paling teruk diancam, mencatat lebih 784,500 kes dan 42,138 kematian.

Korban kedua tertinggi di Itali seramai 24,114 dan Sepanyol pula mencatatkan jumlah kes kedua tertinggi dengan 200,210.

Virus maut ini telah merebak ke 185 negara dan wilayah sejak pertama kali muncul di Wuhan, China pada Disember.


Rusia merekodkan 4,268 kes COVID-19 dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 47,121, lapor agensi berita Sputnik memetik sebuah pusat tindak balas koronavirus kebangsaan pada Isnin.

“Dalam tempoh 24 jam lalu, 4,268 kes COVID-19 didaftarkan di 76 wilayah. Daripada jumlah itu, 1,935 (atau 45.3 peratus) merupakan kontak kepada pesakit, tanpa menunjukkan gejala klinikal,” kata pusat itu dalam satu kenyataan.

Daripada semua kes baharu, 2,026 didaftarkan di Moscow, 578 di wilayah Moscow manakala 113 lagi di wilayah Nizhny Novgorod.

Hampir separuh pesakit baharu di Moscow berusia di bawah 45 tahun.

Setakat ini, Moscow telah mengesahkan 26,350 kes COVID-19 manakala 44 orang meninggal dunia menjadikan jumlah keseluruhan kematian 405 orang.

Bilangan pesakit yang sembuh pula adalah seramai 155 orang, keseluruhan berjumlah 3,446.

Di Indonesia jumlah kematian akibat COVID-19 meningkat kepada 590 kes, dengan lapan lagi kematian berlaku dalam tempoh 24 jam.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, Achmad Yurianto berkata kes positif juga terus meningkat kepada 6,760 kes.

“Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, berlaku lapan lagi kematian, dan kes positif baharu sebanyak 185 kes,” katanya.

Provinsi Jakarta mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu 287 kes, diikuti Jawa Barat (62 kes), Jawa Timur (56) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

Kes wabak COVID-19 di Amerika Latin terus menyaksikan peningkatan pada Isnin, sementara ada beberapa negara mula mempertimbangkan untuk melonggarkan peraturan “lockdown”, lapor agensi berita Xinhua.

Dalam tempoh 24 jam lalu, jumlah kes di Brazil melonjak kepada 40,581 peningkatan sebanyak 1,927 kes, sementara bilangan kematian seramai 2,575 meningkat 113 lagi, menurut Kementerian Kesihatan.

Sao Paulo, negara terkaya dan penduduk paling ramai, menjadi pusat penularan wabak yang melaporkan 14,580 kes diikuti Rio de Janeiro.

Ecuador melaporkan 10,128 kes dan 507 kematian, selepas 660 lagi kes baharu dikesan dan 33 pesakit meninggal dunia.

Angka korban sebenar mungkin jauh lebih tinggi, kerana 826 kematian disyaki berkaitan COVID-19 “masih belum dapat disahkan”, kata Menteri Dalam Negeri Maria Paula Romo semasa taklimat harian mengenai wabak itu.

Di Chile pula pihak berkuasa kesihatan mengatakan 10,507 orang diuji positif dan keseluruhan setakat ini seramai 139 orang terkorban. Dalam tempoh 24 jam lalu sebanyak 419 kes baharu dikesan dan enam orang meninggal dunia. – BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button