Luar Negara

COVID-19: Jumlah kes positif di Indonesia lepasi 8 ribu, kematian 689

Indonesia mencatatkan 42 lagi kematian dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah kematian akibat COVID-19 di negara itu meningkat kepada 689 kes.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19 Achmad Yurianto berkata, jumlah kes positif meningkat kepada 8,211 kes, iaitu tambahan 436 kes baharu.

“Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 42 lagi  pesakit sembuh, menjadikan jumlah yang sembuh sehingga kini berjumlah 1,002 orang,” katanya.

Menurut Achmad Yurianto, 18,301 pesakit masih berada dalam pengawasan (patients under surveillance for COVID-19).

Sebelum ini dalam usaha membendung penularan virus corona, Indonesia mengumumkan larangan terhadap semua penerbangan komersial dan persendirian di dalam negeri dan antarabangsa, berkuat kuasa hari ini sehingga 1 Jun 2020.

Direktur Jenderal Perhubungan Udara Kementerian Perhubungan (Pengangkutan), Novie Riyanto dalam satu kenyataan berkata ia selaras dengan perintah Presiden Indonesia Joko Widodo yang melarang semua aktiviti bermudik atau balik kampung bagi menyambut Aidilfitri 1441 Hijrah.

Larang bermudik yang mula berkuat kuasa esok itu, kebiasaannya sebelum ini (aktiviti bermudik) melibatkan pergerakan berjuta-juta orang terutamanya dari Kota Jakarta dan kota-kota berhampirannya, ke wilayah-wilayah lain ke seluruh Indonesia, sama ada melalui pengangkutan darat, udara dan laut, bagi menyambut Aidilfitri.

Bagaimanapun Novie berkata berlaku pengecualian larangan itu kepada penerbangan yang membawa pemimpin tertinggi negara itu, atau pemimpin negara luar, selain pesawat yang membawa pulang rakyat Indonesia dari negara luar dan operasi penerbangan yang membawa warga negara asing di Indonesia untuk pulang ke negara mereka.

Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi sebelum ini mengumumkan Indonesia menutup kemasukan pelawat luar dan menghalang rakyatnya keluar negara bagi membendung penularan virus COVID-19, berkuat kuasa 20 Mac lepas sehingga ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Pada masa sama Indonesia turut melaksanakan perintah pembatasan sosial berskala besar (PSBB) di Kota Jakarta, bagi membendung penularan COVID-19, dilanjutkan sehingga 22 Mei ini.

PSBB di kota Jakarta bermula 15 Mac lepas menerusi penguatkuasaan beberapa peraturan secara berperingkat-peringkat sebelum diperketatkan lagi aktiviti penduduk pada 10 April lepas, yang antaranya mewajibkan pemakaian penutup mulut dan hidung ketika berada di luar rumah.

Gabenor Jakarta, Anies Baswedan pada sidang media yang disiarkan secara langsung televisyen tempatan, meminta warga kota Jakarta mematuhi PSBB bagi bersama-sama memutuskan rantaian penularan virus berkenaan.

Setakat hari ini, Jakarta mencatatkan kematian tertinggi di seluruh negara itu iaitu 301 kematian, dan 3,383 kes positif.

Antara peraturan PSBB ialah penunggang motosikal tidak dibenarkan membawa pembonceng, pengangkutan awam dan persendirian dibataskan jumlah penumpang tidak melebihi 50 peratus daripada kapasiti jumlah penumpang kenderaan itu. – BERNAMA

(Visited 58 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button