Nasional

COVID-19: Jumlah kes aktif di Rembau naik mendadak

JUMLAH kes aktif COVID-19 di daerah Rembau, Negeri Sembilan meningkat secara mendadak semalam, menurut Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Berdasarkan infografik CPRC yang dikongsi melalui media sosial rasmi KKM hari ini, jumlah kes aktif di daerah yang dikategorikan Zon Merah COVID-19 itu meningkat kepada 59 berbanding tujuh kes, Khamis lepas.

Peningkatan drastik itu dipercayai susulan penemuan kluster baharu di Rembau iaitu Kluster Pedas, melibatkan 53 pekerja asing yang didedahkan KKM, semalam.

Sementara itu, sehingga tengah hari semalam, terdapat 10 lagi Zon Merah seluruh negara iaitu tiga kawasan di Selangor; empat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; satu di Johor dan dua di Sarawak.

Di Selangor, Zon Merah melibatkan Daerah Petaling (53 kes), Hulu Langat (55) dan Gombak (80); Kluang, Johor (49); serta Kuching (100) dan Kota Samarahan (43) di Sarawak.

Di Kuala Lumpur pula membabitkan kawasan Batu (101), Kampung Baru (67), Sri Petaling (45) dan beberapa kawasan lain di ibu kota (144).

Zon Merah mewakili jumlah kes aktif COVID-19 melebihi 41 kes, Zon Kuning (satu hingga 40 kes) dan Zon Hijau tiada kes.

Semalam,KKM melaporkan tiga kluster baharu kes positif COVID-19 dikenali kluster PEDAS (Sabtu 2 Mei), kluster pembinaan (Ahad 3 Mei) dan kluster pengawal keselamatan (Khamis 7 Mei).

KKM pada 2 Mei mengenalpasti satu kluster yang melibatkan warga pekerja di sebuah kilang di Pedas, Rembau.

Bermula dengan seorang kakitangan kilang tidak sihat dan mula mengalami gejala demam, batuk, selesema, sesak nafas dan sakit kepala. Saringan ujian COVID-19 dijalankan pada 10 April 2020. Pada 12 April 2020, keputusan ujian pengesanan COVID-19 disahkan positif.

Siasatan dan saringan bagi kontak rapat kakitangan tersebut dialankan. Sehingga 8 Mei 2020 pukul 12 tengah hari, seramai 786 orang disaring yang terdiri daripada pekerja kilang dan ahli keluarga mereka.

Daripada jumlah keseluruhan ini, 60 kes didapati positif, 286 kes negatif dan 440 orang masih menunggu keputusan. Kes-kes positif kluster ini melibatkan tujuh (7) warganegara Malaysia dan 53 bukan warganegara iaitu 25 kes warga Nepal, 18 kes warga Bangladesh, lapan (8) kes warga Indonesia dan dua (2) kes warga Myanmar. Punca jangkitan bagi kluster ini masih di dalam siasatan.

Kluster pekerja pembinaan pula melibatkan sebuah tapak pembinaan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur dan setakat ini seramai 28 kes positif COVID-19 dikesan dalam kalangan pekerja di tapak pembinaan itu.

Untuk kluster pengawal keselamatan pula, menurut KKM, ia melibatkan pengawal dan anggota keselamatan sebuah pusat beli-belah di Cheras, Kuala Lumpur.

Setakat ini 10 kes positif COVID-19 dikesan iaitu sembilan warganegara Nepal dan seorang rakyat tempatan. Kesemua warganegara Nepal dalam kluster ini tinggal di kediaman yang sama di Cheras.

Saringan COVID-19 dijalankan ke atas penghuni kediaman mereka, pengawal dan anggota keselamatan di pusat membeli-belah tersebut, dan juga pekerja pasaraya yang berkait rapat.

Setakat ini, seramai 436 orang disaring di mana 10 kes didapati positif, 347 kes negatif dan 79 orang masih menunggu keputusan.

Sebelum ini, terdapat beberapa kluster yang menyebabkan penularan wabak COVID-19 di negara ini termasuk kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling (Kuala Lumpur), kluster pasar borong Kuala Lumpur, kluster import dari Itali, persidangan agama di gereja di Kuching ( Sarawak), kenduri perkahwinan di Bandar Baru Bangi (Selangor), kluster Pasar Chow Kit, kluster Sendayan (Negeri Sembilan), kluster Pesantren, kluster Kampung Baru (Kuala Lumpur) dan kluster Madrasah Ayer Merbau (Melaka). – BERNAMA

(Visited 120 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button