Luar Negara

Covid-19: Indonesia catat kes kematian tertinggi sejak 11 Mac

INDONESIA mencatatkan sejumlah 127 kematian akibat COVID-19 dalam tempoh 24 jam, yang tertinggi sejak kes kematian pertama pada 11 Mac, menjadikan angka korban keseluruhan setakat ini ialah 4,143 orang.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkaitan COVID-19, Achmad Yurianto, berkata bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 1,639 kes positif baharu dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini ialah 86,521 kes.

“Sebanyak 37,505 pesakit masih dalam pemantauan COVID-19,” katanya dalam sidang media harian yang disiarkan menerusi YouTube rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia seperti yang dilaporkan oleh BERNAMA.

Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 1,401 kes diikuti Jakarta (736 kes), Jawa Tengah (323), Sulawesi Selatan (279) dan selebihnya wilayah lain di Indonesia.

Daripada 127 kematian dalam tempoh 24 jam lepas itu, sebanyak 52 kes berlaku di Jawa Timur, 23 di Jawa Tengah, sembilan di Jakarta dan selebihnya di wilayah lain.

Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kes keseluruhan tertinggi iaitu 18,308 diikuti Jakarta (16,538) dan selebihnya di wilayah lain.

Sementara Thailand pula melaporkan empat kes import baharu COVID-19, meningkatkan jumlah kes di negara itu kepada 3,236, lapor agensi berita Thailand (TNA).

Dr. Taweesin Wissanuyothin, jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) berkata tiga lagi kes COVID-19 telah pulih, menjadikan jumlah kes sembuh kepada 3,095 dan 83 pesakit dirawat di hospital.

Angka korban kekal 58.

Kes jangkitan baharu membabitkan seorang lelaki dan wanita, masing-masing kembali dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan di kuarantin di Chon Buri. Mereka tidak menunjukkan sebarang gejala.

Kes lain melibatkan seorang pelajar, kembali dari Mesir dan merupakan kontak rapat dengan individu yang dijangkiti virus itu semasa berada di negara berkenaan.

Satu lagi kes, seorang wanita pulang dari Amerika Syarikat (AS) dan dikuarantin di Bangkok. Beliau mengalami demam, sakit kepala dan hilang deria bau selain berhubung rapat dengan pesakit COVID-19 di AS.

(Visited 190 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button