Bola SepakSukan

Neymar digantung dua perlawanan, Alvaro disiasat LFP

NEYMAR digantung dua perlawanan kerana menumbuk bintang Marseille, Alvaro Gonzalez. Liga 1 turut membuka siasatan terhadap dakwaan penyerang itu bahawa dia telah dihina secara perkauman.

Neymar menyaksikan perlawanan Paris Saint-Germain (PSG) menewaskan Metz 1-0 dari tempat duduk penonton, hari ini. Bintang Brazil itu antara lima pemain yang dilayangkan kad merah dalam insiden pergaduhan sewaktu PSG tumpas 0-1.

Kesemua lima bintang yang terbabit dalam pergaduhan itu digantung perlawanan. Pertahanan PSG, Layvin Kurzawa pula digantung enam perlawanan.

Leandro Paredes turut menerima hukuman sama seperti Neymar, tetapi bekas bintang Barcelona itu memiliki satu hukuman penggantungan tambahan.

Tonggak hadapan Marseille, Dario Benedetto, yang mana kekasarannya menjadi punca kepada pergaduhan berlaku, digantung satu perlawanan, manakala rakan sepasukan, Jordan Amawi bakal terlepas tiga perlawanan akan datang.

Neymar dibuang padang selepas VAR mengesan tingkah lakunya yang menumbuk belakang kepala Alvaro.
Bintang antarabangsa Brazil itu menegaskan, dia bertindak demikian selepas pertahanan Sepanyol tersebut didakwa menghinanya secara perkauman.

Neymar, yang dituduh memanggil Alvaro “f**g q*r, mendakwa bintang Marseille itu menggelarnya “monkey son of a b*.”

Alvaro yang mengeluarkan kenyataan anti-perkauman menerusi Twitter menegaskan: “Tiada tempat untuk perkauman.”

PSG memberikan sokongan kepada Neymar berikutan dakwaannya itu, dan badan induk bola sepak Perancis, LFP kini menyiasat kes tersebut.

Neymar mengendalikan isu itu dengan caranya sendiri apabila dia menggunakan platform Twitter dengan mendakwa Alvaro “bukan anak jantan”, “perkauman” dan “saya tidak menghormati anda”.

Pemain itu kemudiannya mengeluarkan kenyataan lanjut menerusi Instagram dengan menjelaskan, dia akan “memberontak” dan “tidak akan sesekali membiarkan insiden yang terjadi tanpa melakukan sesuatu”.

Marseille dalam kenyataan yang dikeluarkan, kelmarin, menafikan Alvaro ada melakukan perbuatan seperti yang didakwa Neymar.

Kelab Perancis itu mendedahkan sejak insiden tersebut pemain berusia 30 tahun itu telah menerima ugutan bunuh.

“Alvaro Gonzalez bukan seorang yang bersikap perkauman, dia telah membuktikan menerusi tingkah laku sehariannya sejak menyertai kelab, dan rakan sepasukannya turut mengesahkan hal tersebut,” jelas kenyataan itu.

Angel Di Maria turut akan dipanggil menghadap jawatankuasa disiplin LFP ekoran dakwaan dia meludah ke arah Alvaro. – The Sun UK – SM

(Visited 198 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button