Nasional

Covid-19: ICU lima hospital di Lembah Klang kritikal

UNIT Rawatan Rapi di lima daripada 12 hospital dalam kawasan Lembah Klang berhadapan dengan lambakan pesakit Koronavirus (Covid-19) melebihi had kapasiti.

Lima hospital terbabit adalah, Sungai Buloh; Ampang; Tuanku Ampuan Rahimah, Klang; Serdang, Banting dan Kajang.

Sementara tujuh lagi hospital kini menghampiri kapasiti maksimum dengan peratusan sekurang-kurangnya 86 peratus penggunaan katil iaitu di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan.

Sehingga semalam, Hospital Kajang mencatatkan lambakan pesakit di dalam ICU melebihi had maksimum paling tinggi iaitu 317 peratus atau 19 pesakit berbanding 6 katil yang dikhaskan.

Ia diikuti dengan Hospital Banting yang asalnya berkapasiti empat katil yang dikhaskan, namun berlaku peningkatan sehingga 200 peratus dengan jumlah pesakit Covid-19 sedang dirawat dalam ICU seramai lapan orang.

Sementara Hospital Serdang yang berhampiran dengan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) berada di tempat ketiga paling kritikal iaitu 172 peratus dengan jumlah pesakit seramai 55 orang berbanding 32 katil yang dikhaskan.

Sementara Hospital Sungai Buloh yang sebelum ini dikhususkan sebagai pusat rawatan bagi pesakit Covid-19 pula berada di tempat paling rendah dalam kategori kritikal iaitu 11 peratus.

Sebanyak 80 katil dikhaskan bagi merawat pesakit pandemik dalam ICU, namun terdapat lebihan sembilan pesakit terpaksa ditempatkan di sana kerana memerlukan pemantauan rapi.

Hospital Kuala Lumpur (HKL) terletak di ibu negara pula melaporkan sebanyak 63 katil sedang ditempatkan pesakit berbanding 64 yang dikhaskan bagi pesakit Covid-19

Keadaan ini disifatkan amat kritikal kerana purata peratusan kapasiti pesakit dirawat dalam ICU dekat hospital di seluruh Lembah Klang sudahpun melebihi 100 peratus.

Lebihan itu adalah berpunca daripada peningkatan mendadak pesakit Covid-19 yang kritikal memerlukan pemantauan rapi sebanyak 377 orang berbanding 334 katil yang terdapat dalam ICU di semua 12 hospital.

“Hospital-hospital Kementerian Kesihatan (KKM) kini terpaksa menukar fungsi (repurpose) lain-lain kawasan di dalam hospital seperti wad biasa untuk dijadikan ICU sementara dengan melengkapkan katil-katil dengan peralatan perubatan tertentu.

“Virus Covid-19 berada di dalam komuniti. Patuhilah SOP dan duduk di rumah jika tiada urusan penting di luar.

“Bantu KKM dengan lockdown kendiri untuk putuskan rantaian jangkitan Covid-19.”

Demikian kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran dalam Facebooknya hari ini yang turut berkongsikan gambar suasana kritikal dalam ICU di hospital seluruh Lembah Klang.

Petang tadi beliau memaklumkan, jumlah terkini kes harian dicatatkan pada hari ini adalah sebanyak 6,320 berbanding 6,493 semalam.

Sementara di Selangor, penurunan kes baharu pada hari ini juga dapat dilihat apabila 1,647 jangkitan dicatatkan berbanding 2,163 semalam, namun ia masih tertinggi jika dibandingkan dengan negeri lain.

Kelmarin, kes baharu mencatat rekod tertinggi apabila sebanyak 6,806 jangkitan harian dilaporkan dan kematian paling banyak juga direkodkan iaitu 59 kes. – SM

(Visited 499 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button