Uncategorized

Penjawat Awam Negeri Selangor Terima Bantuan Khas Kewangan Minimum RM1,000

Kerajaan negeri mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) menerusi Insentif Rahmah Ramadan sebanyak sebulan gaji dengan minimum RM1,000 kepada penjawat awam di Selangor.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pemberian BKK berjumlah sebanyak RM39.5 juta itu akan dibayar pada 27 April iaitu sebelum sambutan perayaan Aidilfitri.

“Sebanyak satu bulan gaji, minimum RM1,000 diberikan kepada semua anggota perkhidmatan kerajaan negeri termasuk Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, speaker, timbalan speaker, Ahli Dewan Undangan Negeri, pengurusan tertinggi dan anggota perkhidmatan kerajaan negeri yang gajinya dibayar oleh kerajaan Persekutuan dengan anggaran implikasi kewangan sebanyak RM39.15 juta yang akan dibayar pada 27 April ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Rapat Rahmah Ramadan Menteri Besar Selangor Bersama Penjawat Awam Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri turut bersetuju agar BKK berjumlah RM1,000 diberikan kepada pemimpin masyarakat membabitkan pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), pegawai perhubungan Kampung Baru, Bagan atau Tersusun, ketua komuniti India, Setiausaha MPKK dan Penyelia Wanita Berdaya Selangor (WBS).

“Bagi Penggerak Belia Selangor (PeBs) sebanyak RM500 juga diperuntukkan kepada mereka yang mana insentif ini akan dibiayai oleh kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri juga bersetuju agar Insentif Rahmah Ramadan Selangor sejumlah RM500 diberikan kepada penggerak masjid iaitu nazir, imam, siak dan bilal atas dedikasi pengimarahan institusi masjid sepanjang Ramadan.

“Peruntukan ini akan disalurkan melalui Inisiatif tanggungjawab sosial korporat anak syarikat kerajaan negeri,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Amirudin turut memaklumkan kerajaan negeri telah mengarahkan Pejabat Tanah dan Galian Selangor dan Jabatan Perhutanan Selangor untuk mewartakan semula Hutan Simpan Kuala Langat Utara dengan kadar segera.

“Keluasan ini melibatkan kawasan Kampung Orang Asli Busut Baru seluas 42.05 hektar (103.9081 ekar) dan jajaran laluan Paip Air Mentah Loji Rawatan Air Sg Rasau seluas 8.58 hektar (21.2139 ekar), menjadikan keseluruhan kawasan yang akan diwarta semula seluas lebih kurang 486.07 hektar (1,201.20 Ekar),” katanya

Katanya lagi, kerajaan negeri juga bersetuju untuk memberi pengecualian selama setahun bagi kadar duti hiburan untuk bayaran masuk pertunjukan pentas (bertiket) bagi artis tempatan berkuatkuasa 1 Januari hingga 31 Disember 2022.

Beliau menambah, pengecualian itu bagaimanapun tidak terpakai untuk artis antarabangsa.

“Buat masa ini tiada sebarang caj duti hiburan dikenakan untuk aktiviti ‘busking’ dan kadar duti hiburan untuk live band (tidak bertiket) juga turut diberi pengecualian selama setahun bermula 1 Januari hingga 31 Disember 2022,” katanya.

(Visited 274 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button