Nasional

LTAM mula beroperasi selepas tiga tahun ditutup akibat Covid-19

Selepas tidak beroperasi selama tiga tahun sejak negara dilanda pandemik Covid-19, Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam, Melaka kembali dibuka semula untuk penerbangan domestik dan antarabangsa bermula hari ini.

Lebih bermakna pesawat ATR-72 milik Batik Air dulu dikenali Malindo Air yang membawa 38 penumpang dari Pulau Pinang mendarat buat pertama kalinya di LTAM kira-kira pukul 11.15 pagi tadi.

Kesemua penumpang yang tiba disambut meriah oleh Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis.

Ini bermakna LTAM akan kembali sibuk selepas sepi sejak tiga tahun lalu bagi penerbangan ke Pulau Pinang dan Pekanbaru, Indonesia menggunakan Batik Air.

Seterusnya, pesawat yang sama melakukan penerbangan dari LTAM ke Pekanbaru, Indonesia dengan membawa 50 penumpang termasuk Muhammad Jailani.

Muhammad Jailani berkata, usaha yang dijalankan kerajaan negeri berunding dengan pelbagai pihak termasukan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) membuahkan hasil bagi memastikan LTAM kembali beroperasi walaupun pintu sempadan negara dibuka 1 April lalu.

Menurutnya, pembukaan semula LTAM diramalkan akan merancakkan kembali sektor pelancongan di negeri ini dan bakal menyaksikan Melaka mampu mencapai sasaran 5.6 juta pelancong menjelang Disember ini.

“Buat masa ini penerbangan menggunakan Batik Air ke Pulau Pinang dan Pekanbaru, Indonesia memulakan operasi hari ini di LTAM. Hampir tiga tahun LTAM tidak menerima sebarang penerbangan
akibat Covid-19.

“Dengan pembukaan semula LTAM, orang ramai khususnya di Negeri Sembilan dan Johor boleh datang ke LTAM untuk menaiki pesawat ke Pulau Pinang dan Pekanbaru,” ujarnya dalam sidang akhbar di LTAM.

Hadir sama Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Jabatan Ketua Menteri, Sa’ari Basiron.

Muhammad Jailani berkata, bagi penerbangan ke Pulau Pinang menggunakan penerbangan Batik Air adalah setiap hari dengan kadar harga serendah RM129 sehala atau IDR695,999 ke Pekanbaru.

Menurutnya, sehingga Jun lalu seramai 2.4 juta melawat Melaka iaitu meningkat 1.7 juta atau 234.7 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya merancang untuk meneroka pasaran baharu dengan menarik pelancong dari India dan Brunei. – SM

(Visited 215 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button